Hukuman Qisas

UNDANG-UNDANG  JENAYAH ISLAM MENGENAI  

JENAYAH QISAS BUNUH

   

BAB 1  

   

QISAS DAN HIKMAT  

 

 

Definasi Qisas  

Qisas berasal dari kata perbuatan .  Dari segi bahasa mempunyai beberapa makna.  Ada kalanya bererti “mengikut” seperti dalam Surah al-Qasas (ayat 11)                                                                                “dan Ibn Musa berkata kepada saudara Musa yang perempuan. Kau ikutlah dia” dan dalam Surah al-Kahfi (ayat 64) “lalu kedua-duanya kembali mengikuti jejaknya tadi.”   Selain dari itu  boleh diertikan sebagai “memotong atau menggunting”  seperti dalam ayat “Qassa al-Sh’ar,”  menceritakan  seperti dalam ayat  “ia menceritakan khabar kepadanya”  dan juga boleh membawa makna persamaan.                                                              

         Di antara  makna-makna di atas, maka qisas  yang bererti  “mengikut”  dan “menyamai”  adalah yang paling hampir kepada maksud qisas  dari segi istilah syara’, di mana orang yang melakukan jenayah bunuh atau mencederakan anggota tubuh badan akan diikuti dengan hukuman yang menyamai dengan jenayah yang dilakukan, iaitu jika seseorang  itu melakukan jenayah bunuh akan dijatuhkan hukuman bunuh atau jika seseorang itu umpamanya memotong kaki orang, dia juga akan dihukum potong kakinya dan begitulah seterusnya.

         Menurut istilah syara’ pula qisas  adalah satu jenis hukuman yang termasuk dalam kategori hudud, iaitu suatu hukuman yang telah ditetapkan  syara’ melalui nas-nas al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w bagi kesalahan-kesalahan yang melibatkan hak-hak anak Adam atau hak individu  seperti jenayah bunuh dan mencederakan anggota tubuh badan.

Sumber Hukum Qisas 

Kewajipan melakukan undang-undang qisas  tidak boleh dipertikaikan lagi kerana ianya telah ditetapkan syara’ secara qat’I dan muktamad seperti mana wajibnya solat, puasa, zakat, haji  dan sebagainya.  Ini berdasarkan kepada ayat-ayat Al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w.

         Antara firman Allah Taala :

Maksudnya :

            Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu qisas dalam kes orang kena bunuh ; seorang  merdeka dengan seorang merdeka, seorang hamba  dengan seorang hamba, seorang perempuan dengan seorang perempuan.  Maka barangsiapa yang mendapat  kemaafan dari saudaranya hendaklah mengikuti dengan  baik dan hendaklah (yang diberi maaf) memberi (diyat) kepada yang memberi maaf dengan cara yang baik pula.  Yang demikian itu suatu keringanan dari tuhanmu dan suatu rahmat.  Barangsiapa yang melanggar lagi sesudah itu maka untuknya siksaan yang pedih”

Firman Allah :

Maksudnya :

 

            Dan telah Kami wajibkan ke atas mereka (kaum Bani Israel) di dalam (Taurat) bahawa (nyawa) di balas  nyawa, mata (dibalas) dengan mata, hidung (dibalas) dengan hidung, telinga (dibalas) dengan telinga, gigi (dibalas) dengan gigi dan luka-luka itu ada (balasan) qisasnya.  Barangsiapa yang melepaskan (hak) qisasnya, maka melepaskan hak itu (menjadi) penebus dosa  baginya.  Barangsiapa yang tidak menghukum menurut yang diturunkan Allah, maka  mereka itu orang-orang yang zalim”

Firman Allah :

Maksudnya :

         “Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan  suatu (alas an) yang hak.  Dan barangsiapa dibunuh  secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah memberi  kekuasaan kepada ahli warisnya.  Tetapi janganlah ahli waris itu melampaui batas dalam membunuh.  Sesungguhnya ia adalah orang yang mendapat pertolongan”.

 

Firman Allah:

Maksudnya :

         “Bulan haram  dengan bulan haram dan pada sesuatu yang patut dihormati berlaku hukum qisas.  Oleh itu barangsiapa yang menyerang kamu, maka seranglah dia, seimbang dengan serangannya terhadapmu.  Bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah beserta orang-orang yang bertakwa”

 

Firman Allah :

Maksudnya :

         “Dan jika kamu membalas, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan siksaan yang ditimpakan kepadamu.  Akan tetapi jika kamu bersabar,  sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang sabar.


 

            Manakala sumber-sumber daripada Sunnah Rasulullah s.a.w. pula; antaranya ialah :

         Sabda Nabi s.a.w. :

Maksudnya : 

            “Barangsiapa yang (waris) baginya dibunuh, maka dia diberi dua pilihan ; sama ada (menuntut) untuk membunuh atau (menuntut) bayaran diyat (gantirugi)”

Sabda Nabi s.a.w. :

Maksudnya :

            Barangsiapa yang ditimpa pembunuhan, dia diberi pilihan antara tiga perkara, sama ada untuk (menuntut) hukuman qisas atau menuntut diyat atau memaafkan.”

Sabda Nabi s.a.w. :

Maksudnya :

            “Barangsiapa yang membunuh secara sengaja hendaklah diserahkannya kepada wali mangsa  yang kena bunuh.  Jika mereka  mahu, mereka boleh (menuntut) untuk  membunuh (penjenayah), dan boleh (menuntut) bayaran diyat”

 

Dengan keterangan daripaa nas-nas Al-Quran dan Al-Sunnah yang tersebut di atas, jelaslah bahawa undang-undang jenayah mengenali qisas  wajib dilaksanakan untuk memelihara salah satu daripada maslahah  atau kepentingan yang paling berharga iaitu nyawa dan tubuh badan.

Hikmat Disyariatkan Qisas  

Tiap-tiap  undang-undang atau peraturan yang disyariatkan Allah kepada umat manusia tidak  didatangkan dengan sia-sia.  Bahkan mempunyai  kebaikan  dan hikmah yang kebanyakkannya tidak  diketahui oleh kebanyakkan orang.   Maka begitulah halnya dengan  undang-undang qisas yang diwajibkan kepada orang-orang  yang beriman untuk melaksanakannya, sama sekali tidak  menyusahkan  atau memudaratkan ; tetapi mempunyai hikmah atau signifikasinya yang tersendiri.

Antara hikmah syariat qisas  ialah :

a.      Untuk memberi keadilan kepada umat manusia, kerana qisas  adalah satu hukuman yang paling adil dan saksama.  Ini kerana hukuman qisas menyamai dengan jenayah yang telah dilakukan, umpamanya seorang yang membunuh dengan sengaja akan dikenakan hukuman bunuh.  Seorang  yang memotong telinga orang  akan dibalas dengan dipotong telinganya dan sebagainya .  Adalah tidak adil sekiranya seorang anak kehilangan bapanya yang dibunuh orang dengan kejam,  tiba-tiba pembunuh  berkenaan tidak dijatuhkan hukuman bunuh.  Begitu juga adalah tidak adil sekiranya seorang yang hilang penglihatannya kerana  perbuatan  jahat orang, tiba-tiba  penjahat berkenaan  tidak dihukum dengan  hukuman yang serupa dengan jenayah yang telah  dilakukan; adalah tidak adil namanya.

b.      Dengan melaksanakan hukuman qisas dapat mencegah dan  menghalang orang  yang bercadang untuk melakukan jenayah  daripada meneruskan niat buruknya.  Jika mereka mengetahui bahawa hukuman  yang akan diterimanya adalah berat, menyamai dengan jenayah yang dilakukan sudah tentu dia akan berfikir dua tiga kali dan akhirnya akan  membatalkan niat buruknya itu.

c.      Undang-undang qisas  dapat meredakan kemarahan dan dendam waris-waris mangsa jenayah bunuh.  Waris-waris seperti  ibubapa atau anak-anak mangsa jenayah bunuh akan merasa lega  dan kurang marah jika pembunuh itu dihukum bunuh juga.  Sebaliknya jika pembunuh itu hanya dipenjara atau didenda maka  waris tadi akan mencari jalan untuk membalas dendam bukan  sahaja kepada pemnbunuh ; bahkan boleh menjalar kepada keluarga  si penjenayah.  Hal seperti ini berlaku di zaman jahiliah di mana jika  didapati  seorang  sahaja anggota qabilahnya dibunuh orang, maka  qabilah   berkenaan akan membalas  dendam dengan membunuh seberapa ramai anggota qabilah  yang membunuh  itu bagi  memuaskan nafsunya.

d.      Selain daripada itu dengan menjalankan undang-undang qisas bererti menjamin kehidupan yang aman tenteram kepada seluruh umat manusia, sebagaimana firman Allah S.W.T :

         Maksudnya :

            “Dan di dalam qisas itu ada (jaminan) hidup bagimu wahai orang-orang yang berakal supaya kamu bertakwa”

 

         Ayat Al-Quran yang tersebut di atas menjelaskan bahawa faedah hukuman qisas bukan hanya dirasai oleh wali atau waris  mangsa ; bahkan  ianya dapat dirasai oleh seluruh umat manusia, sebab itu digunakan perkataan “dan bagi kamu semua.”  Jadi qisas  bukan sebagai satu tindakan balas dendam yang  faedahnya hanya dirasai oleh mangsa jenayah.

         Ayat di atas  juga menjelaskan bahawa kehidupan masyarakat  dijamin oleh hukuman qisas.  Oleh kerana jika qisas  tidak  dijalankan maka nyawa dan tubuh badan akan dicerobohi tanpa balasan dan pembelaan ; yang kuat akan menindas yang lemah.  Hidup dalam keadaan huru-hara  dan kucar-kacir kerana tidak ada undang-undang dan peraturan yang mengawal keamanan dan ketenteraman.  Supaya hidup dalam keadaan kasih sayang dan aman damai ; maka perlulah dijalankan hukuman qisas  kerana  ianya  merupakan suatu hukuman yang adil dan saksama.

         Begitu juga ayat  di atas menerangkan bahawa matlamat dan keistimewaan syariat qisas  hanya dapat  difahami dan diakui  oleh mereka yang mempunyai akal fikiran yang waras.  Lantaran  itulah  Allah menunjukkan firman-Nya dengan perkataan ertinya  “Wahai orang-orang yang berakal”.  Jadinya orang-orang yang tidak berakal atau yang tidak mempunyai akal yang  waras dan rasional tidak mahu menerima  dan mengakui  kebaikan  undang-undang qisas .  Sebaliknya orang-orang yang seperti ini sanggup melemparkan tuduhan-tuduhan yang liar terhadap  syariat  qisas  seperti dituduhnya sebagai hukuman yang kejam dan  tidak berperikemanusiaan.  Oleh itu tidaklah menghairankan jika ada  golongan manusia  termasuk orang-orang  Islam sendiri yang menolak perlaksanaan undang-undang qisas  kerana akal  mereka sudah ditutupi dan diselubungi dengan idea-idea atau  isme-isme  lain yang bertentangan dengan ajaran Islam.

         Hikmat undang-undang qisas juga telah diperjelaskan dalam Al-Quran :

Maksudnya :

            “Oleh kerana itu Kami tetapkan (suatu  hukuman) bagi Bani Israel bahawa barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh orang lain) atau bukan  kerana membuat kerosakan di  muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya.  Dan barang siapa yang  memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia seluruhnya”.

 

 

            Ayat di atas memberi gambaran tentang kedurjanaan pembunuh secara sengaja walaupun  hanya membunuh seorang sahaja, seolah-olah dia membunuh manusia seluruhnya.  Memang tepat sekali  perbandingan yang dijelaskan Al-Quran itu kerana selagi pembunuh itu masih bebas dan tidak dikenakan hukuman yang setimpal, dia akan terus bermaharajalela mencari mangsa yang  lain untuk  dibunuhnya.  Oleh sebab itu ianya  diumpamakan seperti telah membunuh semua manusia kerana dia telah mencerobohi hak  seseorang untuk hidup dalam keadaan aman damai.  Barang siapa  yang memusuhi kehidupan seseorang seolah-olah dia telah mencerobohi hak orang ramai untuk hidup.

         Seterusnya ayat di atas menjelaskan bahawa sesiapa yang menghidupkan seseorang, dengan cara menjalankan hukuman qisas seolah-olah telah memberi kehidupan kepada semua orang.  Ini  adalah kerana apabila pembunuh itu telah dikenakan hukuman  qisas  bunuh, maka secara langsung atau tidak langsung telah dapat  menyelamatkan bakal mangsa pembunuhan daripada kekejaman penjenayah.

         Ayat di atas juga boleh dimaksudkan bahawa dengan melaksanakan hukuman qisas kepada penjenayah bunuh akan  menghidupakan waris-waris dan keluarga mangsa,  dengan erti kata  bahawa semangat dan kekuatan waris-waris dapat dipulihkan  setelah mereka kecewa dan patah hati kerana kematian anaknya yang dibunuh oleh penjenayah itu.

Qisas Dalam Ugama-ugama Lain  

 

Qisas  atau hukuman bunuh balas bukan hanya disyariatkan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. sahaja, bahkan ianya  juga telah disyariatkan kepada umat nabi-nabi yang terdahulu sebagaimana  firman Allah setelah menceritakan pembunuhan Habil  oleh saudaranya Qabil kerana cemburu dan hasad dengki.

         Firman Allah :

Maksudnya :

         “Oleh kerana itu Kami tetapkan (suatu hukuman) bagi Bani Israel bahawa barangsiapa membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain atau bukan kerana membuat kerosakan di muka  bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia  seluruhnya.  Dan barangsiapa yang memelihara  kehidupan  seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia seluruhnya”

 

 

         Jelasnya Allah  menerangkan bahawa qisas  terdapat dalam kitab Taurat seperti firman-Nya :

Maksudny :

         “Dan telah kami fardukan ke atas mereka (Bani Israel) di dalam (Kitab Taurat) bahawasanya jiwa (dibalas) dengan jiwa, mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi dan luka-lukapun ada qisasnya”

         Begitu juga dalam  kitab Old Testiment, (fasal ke 21 menerangkan, “sesungguhnya siapa yang memukul orang hingga  mati hendaklah ia dibunuh dan jika seorang  itu menganiayai seorang lain lalu dibunuhnya, maka lebih baik pembunuh itu dibawa ke hadapan untuk dibunuh balas”

         Qisas  juga terdapat dalam syariat Nabi Isa a.s. sebagaimana firman Allah :

Maksudnya :

            Dan kami iringkan jejak mereka (nabi-nabi Bani Israel) dengan ‘Isa Putera Maryam, membenarkan kitab  yang sebelumnya, iaitu Taurat.  Dan Kami telah  memberikan kepadanya Kitab Injil, sedang di dalamnya ada petunjuk dan cahaya, dan membenarkan kitab yang  sebelumnya, iaitu Kitab Taurat dan menjadi petunjuk  serta  pegangan untuk orang-orang yang bertakwa”

Firman Allah selanjutnya :

 

Maksudnya :

         “Dan hendaklah pengikut-pengikut Injil, memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah di dalamnya (Injil).  Barang siapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang  diturunkan Allah, mereka itu adalah orang-orang yang fasiq.”

 

         Bagaimanapun apa yang terkandung dalam Bible Mathew  bertentangan dengan apa yang  disebutkan  dalam Al-Quran.  Oleh itu mengiktu setengah golongan dalam agama Kristian mengatakan bahawa seorang pembunuh itu tidak dikenakan hukuman qisas  bunuh berdasarkan kitan Injil Mathew  maksudnya, “Adapun aku katakana kepadamu ; Jangan kamu lawan kejahatan  (dengan  kejahatan).  Bahkan barangsiapa yang menampar pipimu yang kanan maka tukarkan pula ke pipimu yang lain.”   Manakala sebahagian yang lain pula berpendapat  hukuman bunuh  terdapat  dalam agama Masihi berdasarkan kata-kata Nabi Isa, “Aku tidak  datang untuk mengurangkan malaikat Jibril tetapi untuk menyempurnakannya.

         Dengan keterangan-keterangan yang tersebut di atas adalah jelas bahawa qisas  bukan hanya diwajibkan di dalam Islam ; bahkan ianya telah diwajibkan di dalam agama-agama Samawi yang terdahulu seperti ugama Yahudi dan Nasrani.  Jadi sepatutnya tidak menjadi pelik dan hairan jika undang-undang qisas  khasnya dan undang-undang jenayah umumnya dilaksanakan oleh umat Islam hari ini.

Tanggapan-tanggapan Negatif Terhadap Qisas 

Pandangan-pandangan yang serong terhadap undang-undang jenayah Islam umumnya dan undang-undang qisas  khususnya: adalah disebabkan sama ada mereka memang tidak memahaminya ataupun sengaja tidak mahu memahami, dengan tujuan untuk menyesatkan orang lain.  Lebih-lebih lagi jika  golongan yang tidak mahu faham ini terdiri dari kalangan umat Islam sendiri.

         Di antara tanggapan-tanggapan yang salah adalah seperti di bawah ini :

a.      Qisas  adalah satu hukuman yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.  Orang-orang yang  menganggap qisas  sebegitu rupa kerana lebih mengambil berat tentang nasib penjenayah  itu daripada memikirkan nasib orang ang menjadi mangsa  penjenayah itu sendiri.  Sedangkan sepatutnya orang yang tidak mempunyai  sifat belas kasihan, seperti penjenayah tidak patut diberi belas  kasihan; sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. :

         Maksudnya :

                                “Barang siapa yang tidak ada belas kasihan, janganlah diberi kasihan belas” 

         Lagi  pula jika ditelitikan bahawa hukuman qisas   adalah satu yang paling saksama  kerana hukuman yang diterima penjenayah itu  serupa dengan jenayah yang dilakukan ; seperti penjenayah bunuh dikenakan hukuman bunuh balas, seorang yang memotong telinga  orang  dihukum potong telinganya dan begitulah seterusnya.

b.      Qisas  dianggap kononnya  satu undang-undang yang ketinggalan zaman dan tidak sesuai dengan budaya  masyarakat di sini.   Sebenarnya jika seseorang  itu mempercayai qisas  ini undang-undang Allah  yang terkandung dalam Al-Quran, maka tidak timbul  anggapan seperti itu.  Lebih-lebih lagi ianya  diriwayatkan kepada  Nabi Muhammadn s.a.w. sebagai utusan yang terakhir.  Maka sudah  tentulah syariat Allah sesuai pada bila-bila masa dan di mana juga.  Tambahan pula tidak akan ada lagi syariat selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. .  Lagipun anggapan seperti ini seolah-olah  undang-undang jenayah Islam, khususnya qisas  hanya sesuai di  zaman Nabi Muhammad s.a.w dan di kalangan masyarakat Arab sahaja.  Sedangkan pada umumnya umat Islam mempercayai ajaran  Islam untuk sepanjang zaman hingga qiamat,  yakni sama  kedudukannya dengan hukum-hukum mengenai solat, zakat, haji dan perkahwinan Islam yang tidak dianggap ketinggalan zaman atau tidak sesuai  dengan  budaya bangsa Malaysia.

c.      Qisas  kononnya sebagai hukum suku-suku bangsa atau dengan lain perkataan dianggap sebagai undang-undang Arab Jahiliah.  Anggapan seperti  ini adalah amat berat kerana ianya  menyamakan qisas  dengan undang-undang Arab Jahiliah dan  sekaligus menafikan qisas  sebagai syariat Allah S.W.T.  Padahal  ianya terang-terang sebagai syariat Allah kerana berdasarkan  kepada dalil-dalil  dan nas yang jelas di dalam Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini.  Jika sesuatu hukum yang telah ditetapkan di dalam Al-Quran tidak  dipercayai., maka sikap yang seperti ini boleh merosakkan aqidah  seseorang; apatah  lagi jika dikaitkan undang-undang qisas  itu dengan amalan Arab Jahiliah.

         Sedangkan antara qisas  dan hukum balas dalam Arab Jahiliah adalah jauh bezanya, sepertimana jauhnya jarak  antara langit dan bumi.  Sebagai contoh, dalam hukuman balas Arab Jahiliah jika didapati seorang sahaja  anggota  qabilahnya dibunuh, maka qabilah berkenaan akan membalas dendam dengan membunuh seberapa  ramai anggota qabilah pembunuh.  Sedangkan dalam undang-udang  qisas  hanya pembunuhnya sahaja yang dikenakan hukuman  bunuh kerana Islam melarang membunuh seseorang tanpa hak, sebagaimana firman Allah:

         Maksudnya :

                                    Dan janganlah kamu membunuh orang yang Allah haramkan (membunuhnya) melainkan dengan (alasan) yang benar.  Dan barang siapa  dibunuh secara zalim,  maka sesungguhnya Kami telah memberi kekuasaan kepada ahli warisnya tetapi janganlah melampaui batas  dalam membunuh”

            Begitu juga dalam Surah Al-Anam ayat 51, maksudnya : “dan janganlah kamu bunuh jiwa yang Allah haramkan (membunuhnya) melainkan dengan suatu (sebab) yang benar”.   Maksud membunuh  dengan sebab  yang hak seperti melakukan bunuh kepada penjenayah zina yang sudah berkahwin, kepada  orang yang keluar daripada Islam (murtad) dan membunuh secara qisas  kepada penjenayah bunuh.

d.         Qisas  kononnya dianggap sebagai tindakan balas dendam.  Orang yang mempunyai  anggapan sebegini sebenarnya tidak memahami  undang-undang qisas, walaupun kedua-dua sistem itu ada persamaan dari segi hukuman balas seperti bunuh  dibalas bunuh dan mencederakan anggota badan akan dicederakan  balik.  Pada hakikatnya antara  balas dendam dan qisas  jauh bezanya.

            Dalam amalan balas dendam biasanya orang yang berdendam tidak pedulikan soal persamaan antara  apa yang telah dilakukan oleh penjenayah  dengan balasan yang akan dikenakan kepadanya,  sedangkan dalam melaksanakan hukuman qisas  disyaratkan supaya  hukuman itu menyamai dengan kesalahan yang dilakukan.  Jika  hukuman itu tidak boleh  menyamai jenayah  yang dilakukan perlu  ditukar hukuman qisas  itu kepada hukuman lain.  Begitu juga dalam  melakukan amalan balas dendam seseorang itu tidak hanya membalas kepada penjenayah, bahkan kepada orang lain yang tidak  ada kena mengena dengan jenayah  berkenaan.  Manakala hukuman  qisas  hanya dikenakan kepada  penjenayah itu sendiri dan tidak  boleh dilibat orang lain ; walaupun kepada ibu bapa, anak-anak atau  warisnya yang terdekat.

            Selain dari itu dalam amalan balas dendam maka orang yang berdendam itu sendiri yang akan melaksanakan balasan dendam.  Jadi kadar balas dendam itu berbeza-beza mengikut kekuatan  masing-masing.  Jika seseorang yang berdendam itu mempunyai  tubuh badan yang kuat maka dia akan bertindak lebih ganas dan  kejam.  Sebaliknya jika yang berdendam itu tidak kuat, maka  tindakan balas dendamnya tidak berapa liar dan ganas.

            Manakala dalam sistem qisas  tidak memberi apa-apa kesan tentang kekuatan atau kelemahan mangsa jenayah berkenaan, kerana qisas  tidak dijalankan oleh orang perseorangan, tetapi  dijalankan melalui perbicaraan di mahkamah yang dibentuk oleh  pihak pemerintahan Islam.  Malahan dengan menjalankan hukuman  qisas  boleh menghapuskan amalan balas dendam.

            Amalan balas dendam adalah perkara biasa dalam cara hidup `Arab Jahiliah, sehingga kadang kala terbawa-bawa walaupun sesudah memeluk Islam; sebagaimana satu riwayat menyatakan  bahawa ada dua suku `Arab Jahiliah  bermusuh-musuhan di  zaman Jahiliah lagi.  Ada di antara  mereka yang kena bunuh dan yang kena luka, termasuklah hamba-hamba dan wanita.  Qabilah berkenaan tidak mengambil tindakan balas dendam kepada qabilah yang lain sehinggalah mereka masuk Islam.  Setelah Islam mereka  terus bermusuhan antara satu dengan yang lain sehingga mereka  bersumpah bahawa mereka tidak rela, melainkan jika seorang  merdeka dari qabilah yang satu itu dibunuh balas disebabkan  adanya seorang hamba yang dibunuh oleh qabilah lain.  Malahan  mereka tidak rela melainkan jika seorang lelaki dari qabilah lain  dibunuh balas  kerana seorang wanita dari qabilah lain dibunuh  orang.

            Kemudian turunlah ayat 178 Surah  Al-Baqarah yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu qisas.”.

            Oleh itu dengan turunnya ayat yang mensyariatkan qisas, maka amalan balas dendam dapat dihapuskan jika undang qisas itu dijalankan di dunia hari ini.

   

BAB II

 

JENAYAH BUNUH YANG MEWAJIBKAN

HUKUMAN QISAS

 

 

 

Pendahuluan

MENURUT  syariat Islam pembunuhan pada asalnya terbahagi kepada dua.  Pertama, pembunuhan yang diharamkan iaitu pembunuhan  yang dilakukan dengan adanya permusuhan seperti membunuh orang yang tidak bersalah; dan keduanya ialah  pembunuhan yang hak dan dibenarkan iaitu pembunuhan yang  tidak ada  tanda-tanda permusuhan seperti menjalankan hukuman bunuh ke atas penjenayah bunuh, murtad dan pesalah zina yang  muhsan.  Ini sebagaimana yang disebutkan melalui sabda Rasulullah s.a.w. :

Maksudnya :

            “Tidak halal (mengambil) darah seorang Muslim melainkan kerana salah satu daripada tiga (sebab); kerana kufur sesudah beriman, zina sesudah ihsan dan membunuh orang tanpa dibunuh balas”

 

Jenis-Jenis Jenayah Bunuh

‘Ulama’ fiqh mempunyai pandangan yang berbeza-beza mengenai pembahagian jenis jenayah bunuh ini.  Ada di antara ulama yang membahagikan kepada dua jenis sahaja, iaitu pembunuhan  dengan sengaja dan pembunuhan  secara tersalah.                                            Setengah mereka membahagikan  kepada   tiga jenis iaitu  selain dari dua jenis di atas ditambah satu  jenis  lagi  iaitu pembunuhan yang menyerupai dengan secara sengaja                                              Ada pula ulama yang membahagikan  kepada empat jenis iaitu selain dari 3 jenis yang disebutkan  di atas; ditambah lagi dengan satu jenis pembunuhan yang menyerupai dengan tersalah bunuh.  Manakala  setengah ulama  pula membahagikan jenayah bunuh itu kepada lima jenis iaitu  empat jenis yang tersebut di atas dan pembunuhan secara tidak langsung atau bersebab.

Perbezaan yang nyata antara pembahagian dua jenis dengan pembahagian yang lain  kerana ‘ulama’  yang membahagikan  pembunuhan itu kepada dua jenis sahaja, mereka tidak mengakui pembunuhan yang menyerupai sengaja.  Walau bagaimanapun  menurut pendapa tyang masyhur  pembunuhan itu terbahagi kepada tiga iaitu pembunuhan  dengan sengaja, yang menyerupai dengan sengaja dan pembunuhan tersalah atau tidak sengaja.

         Pada hakikatnya tidak ada perbezaan di antara pembahagian jenis pembunuhan kepada tiga jenis dengan yang empat atau lima  jenis pembunuhan, kerana ulama yang  membahagikan  kepada  empat jenis itu memisahkan antara pembunuhan secara  tersalah bunuh.  Manakala yang membahagikan pembunuhan itu kepada  lima pula memisahkan antara pembunuhan secara langsung  dengan pembunuhan yang dilakukan dengan ada sebab dan musabab.

         Tetapi jika merujuk kepada Al-Quaran maka jenayah bunuh itu hanya terbahagi kepada dua jenis sahaja iaitu pembunuhan dengan  sengaja dan pembunuhan secara tersalah atau tidak sengaja, sebagaimana firman Allah :

Maksudnya :

         “Barangsiapa yang membunuh seorang  Mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Jahanam, kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan mengutuknya serta menyediakan azab yang besar baginya.

Dan juga firman-Nya :

Maksudnya :

         “Dan barang siapa membunuh seorang Mukmin kerana tersalah (hendaklah) ia memerdekakan seorang hamba sahaya yang beriman serta membayar diyat yang diserahkan kepada keluarga (si terbunuh itu) kecuali jika mereka bersedekah”

 

         Oleh kerana jenis pembunuhan yang mewajibkan hukuman qisas  ialah pembunuhan secara sengaja, maka perbincangan akan ditumpukan kepada jenayah membunuh secara sengaja.

Syarat-syarat yang mewajibkan hukuman qisas

         Untuk menentukan penjenayah bunuh itu boleh dijatuhkan hukuman qisas  perlu ditelitikan  syarat-syarat berikut :

a.       Pembunuhan Secara Sengaja

b.      Pembunuhan Berpunca Dari Permusuhan

c.       Pertanggungjawaban Penjenayah

d.      Persamaan Antara Penjenayah Dengan Mangsanya

        

SYARAT PERTAMA

 

 

a)      Pembunuhan Secara Sengaja

Ulamak memberikan definisi yang berbeza-beza mengenai pembunuhan jenis ini.  Antaranya  menerangkan bahawa  yang  dikatakan pembunuhan secara sengaja ialah apabila  penjenayah  itu sengaja  memukul mangsanya dengan senjata dan  sebagainya seperti benda yang tajam dari batu atau kayu untuk  mengambil nyawa seseorang.  Setengahnya pula mentakrifkannya sebagai  sengaja  menyerang  dengan suatu yang pada   kebiasaannya  boleh membawa maut.  Satu lagi takrif menegaskan “bahawa tiap-tiap yang disengajakan manusia ada dengan menempeleng atau menumbuk atau  memukul dengan senapang, batu, kayu dan sengajanya; semua itu adalah membunuh dengan sengaja jika  mangsanya itu mati dalam kejadian itu.”

Untuk penjelasan lebih lanjut mengenai pembunuhan  secara sengaja, di bawah ini diterangkan satu demi satu rukun-rukun  bagi pembunuhan secara sengaja.

Rukun-rukun bagi pembunuhan secara sengaja

Bagi menentukan jenayah itu dilakukan secara sengaja ; maka perlulah menepati ketiga-tiga rukun berikut :

1.      Pembunuhan itu dilakukan ke atas manusia yang masih hidup.

2.      Kematian itu hasil dari perbuatan pembunuh

3.      Adanya niat sengaja membunuh

Rukun Pertama

 

Pembunuhan dilakukan ke atas manusia yang masih hidup

 

Mangsa jenayah bunuh itu mestilah manusia yang masih hidup.  Oleh itu sekiranya mangsa penjenayah itu bukan manusia seperti hukuman qisas  kerana dia tidak dikira sebagai pembunuh secara  sengaja; walaupun boleh  dianggap sebagai menzalimi binatang.  Begitu juga sekiranya seseorang itu memotong sebarang anggota seseorang yang telah mati tidak dianggap sebagai pembunuh, kerana kematian orang itu bukan hasil  dari perbuatan orang yang  memotong mayat berkenaan.  Oleh itu orang yang memotong  sebarang anggota seseorang yang telah mati tidak boleh dihukum qisas  tetapi diwajibkan hukuman takzir  kerana menganiayai mayat.

         Apa yang dimaksudkan dengan “seorang yang sudah mati”  ialah  seseorang yang telah terpisah nyawanya dari jasadnya secara pasti.  Jadi sekiranya seorang itu membunuh seorang yang sedang sakit  tenat adalah dikira sebagai pembunuh secara sengaja kerana  penjenayah itu yang menghabiskan nyawanya dari jasad mangsanya.

         Adapun kalau umpamanya ada dua orang melakukan jenayah sehingga akhirnya  mangsanya itu mati ; katakanlah penjenayah yang  pertama memukul kepala seseorang  dengan besi yang berat, tetapi orang itu masih ada harapan boleh hidup lagi, tiba-tiba selepas itu  penjenayah yang kedua memancing lehernya hingga mati, maka yang bertanggungjawab dalam jenayah ini ialah penjenayah yang  kedua.  Justeru dialah yang mengambil nyawa dari jasad mangsanya.

         Manakala dalam kes umpamanya penjenayah pertama menikam perut Umar hingga terburai isi perutnya, kemudian datang seorang  lain memancung leher Umar hingga mati, maka ulamak mempunyai pandangan yang berbeza-beza.  Ada yang berpendapat  bahawa penjenayah yang pertamalah yang membunuh kerana dialah yang menjadikan mangsanya dalam keadaan maut.  Manakala sebahagian ulama pula berpendapat bahawa yang  membunuh mangsa berkenaan ialah penjenayah yang kedua kerana walaupun pada masa  orang yang kedua melakukan  jenayahya, nyawa mangsa tidak menentu  lagi,  tetapi masih dianggap bernyawa.  Mangsa itu tidak boleh dianggap sudah mati selagi nyawanya belum berpisah dari jasadnya.  Oleh itu orang yang  melakukan jenayah yang paling hampir kepada kematian mangsa itulah dianggap sebagai pembunuhnya.

         Begitulah halnya dengan orang  yang memukul perut seorang  yang sedang mengandung sehingga anak yang dalam kandungannya itu mati, maka dia tidak dianggap sebagai  membunuh manusia yang hidup, kerana anak yang dalam perut itu tidak  dikira sebagai manusia yang sudah bernyawa sepenuhnya.  Sungguhpun demikian penjenayah berkenaan boleh dianggap telah melakukan  kesalahan membunuh dari jenis yang khusus dan boleh dikenakan hukuman yang khas, sebagaimana ada hadis yang menyatakan  bahawa Rasulullah s.a.w. ada  memutuskan  satu kes di mana seorang yang menyebabkan kematian seorang bayi dalam  kandungan seorang wanita dari Bani Lihyan  iaitu  dengan membayar diyat  bernilai seorang hamba.

Rukun Kedua

 

Kematian itu berpunca dari perbuatan pembunuh

Perkara kedua yang menentukan  pembunuhan itu  dilakukan  dengan sengaja ialah jika kematian itu dari perbuatan  pembunuh dan ianya dilakukan untuk membunuh.  Dengan ini bererti  jika  berlaku kematian seseorang itu bukan disebabkan oleh  perbuatan  orang seperti seorang itu mati kerana dihempap pokok, ataupun  perbuatan itu tidak sampai membawa maut, seperti  memukul dengan pensil ; maka orang yang melakukan tindakan seperti itu tidak boleh dianggap sebagai pembunuh secara  sengaja.  Pembunuhan yang dilakukan oleh penjenayah itu tidak  disyaratkan  dengan cara-cara yang tertentu.  Bahkan memadai sama ada  dengan cara memukul, melukakan, memancung leher, membakar, menenggelamkan, meracun dan sebagainya.  Begitu juga tidak  menjadi syarat sama ada perbuatan yang dilakukan  oleh pembunuh itu hanya sekali atau berulang-ulang kali ; asalkan perbuatan  penjenayah itu membawa maut.

Alat sebagai penentu jenis pembunuhan

         Oleh kerana kebiasaannya  penjenayah menggunakan alat atau senjata untuk  membunuh mangsanya, maka  di bawah ini  dibincang sama ada alat yang digunakan itu penting atau tidak untuk menentukan jenis pembunuhan.

         Telah menjadi kebiasaan bahawa tiap alat atau senjata mempunyai kekuatan dan kesan penggunaanya yang tertentu.  Begitu juga bagi setiap kejadian membunuh biasanya kerana  adanya alat dan sebab yang membawa kepada kematian.  Akan tetapi oleh kerana sebab dan alat yang menyebabkan kematian itu berbeza-beza dari segi kuat atau tidaknya dan dari segi kesannya kepada tubuh badan, maka ulamak mempunyai pandangan yang  berbeza-beza mengenai hukum dan syarat-syarat bagi alat atau  senjata yang digunakan.

         Imam Malik tidak meletakkan apa-apa syarat bagi perbuatan       yang dilakukan oleh pembunuh atau bagi alat yang digunakan. Tiap-tiap perbuatannya yang disengajakan oleh seseorang sama ada  dengan cara memukul, menumbuk, menempeleng atau dengan  menggunakan senjata, kayu, batu dan sebagainya, semuanya itu  dikira sebagai membunuh dengan sengaja jika tindakan  penjenayah itu menyebabkan mangsanya mati.  Jadi Imam Malik menjadikan  “niat membunuh” sebagai asas yang menentukan penjenayah  itu  membunuh secara sengaja  dengan tidak mengambil kira tentang  alat yang  digunakan.  Sebaliknya jika seseorang  itu sengaja  bergurau atau bermain-main dengan tidak ada niat hendak  membunuh, seperti jika dua orang itu mengaku bermain silat ; lalu salah seorang itu dapat menarik kaki hingga jatuh lalu mati, maka kematian seperti ini dianggap sebagai tersalah bunuh dan bukan  sebagai membunuh secara sengaja.  Ini kerana penjenayah  berkenaan  melakukannya dengan cara bergurau dan bermain-main dan tidak ada niat untuk membunuh.  Tetapi jika seseorang itu bertindak seperti hendak membunuh atau dengan menunjukkan kemarahannya lalu menyerang mushnya hingga mati, maka orang itu telah membunuh mangsanya secara sengaja.

         Oleh itu mengikut mazhab Maliki untuk menentukan pembunuhan secara sengaja, tidak memerlukan apa-apa syarat bagi perbuatan pembunuh dan alat atau senjata yang digunakan. Walaupun dengan cara menumbuk, menempeleng atau membaling dengan batu atau memukul dengan tongkat kecil; yang semuanya itu pada kebiasaanya tidak membawa maut. Bagaimanapun ianya boleh dikara sebagai pembunuh dengan sengaja jika penjenayah itu sengaja melakukan pencerobohan dan jika orang yang dicerobohi itu mati dengan sebab perbuatannya itu. Pandangan ini adalah menepati jenis pembunuhan dalam Mazhab Maliki kepada dua jenis sahaja iaitu membunuh secara sengaja dan tersalah bunuh, kerana sesuatu perbuatan itu dilakukan sama ada sengaja atau tersalah. Oleh itu tidak boleh dianggap bahawa pembunuhan dengan menggunakan alat yang pada kebiasannya tidak membawa maut seperti rotan kecil, cemeti, kayu pembaris dan sebagainya sebagai  tersalah bunuh, jika penjenayah itu sengaja  membunuh dan berniat untuk membunuh mangsanya.

         Imam Shafie dan Hanbali menyatakan bahawa yang dikatakan pembunuhan secara sengaja, jika penjenayah itu menggunakan alat atau senjata yang pada kebiasaannya boleh mematikan  seseorang.  Pembunuhan secara sengaja  ialah seseorang itu sengaja membunuh dengan menggunakan alat yang pada ghaibnya boleh membawa maut, walaupun dengan benda yang tidak  tajam.  Sebaliknya jika alat yang digunakan itu pada kebiasaannya tidak boleh mematikan maka pembunuhan itu dianggap sebagai  yang menyerupai dengan sengaja.

         Imam Abu Hanifah pula berpendapat bahawa alat yang digunakan dalam pembunuhan itu selain dari jenis yang pada kebiasaannya  boleh membawa maut, hendaklah alat itu tajam yang  boleh menceraikan tubuh badan ; sama ada yang diperbuat  daripada  besi tembaga, kayu dan sebagainya (seperti pedang, parang, lembing, anak panah dan alat-alat yang boleh memotong dan menikam seperti kaca, api dan sebagainya).  Oleh itu menurut Imam  Abu Hanifah sekiranya senjata  yang digunakan itu daripada  jenis  yang biasanya boleh membunuh dan memang disediakan untuk  membunuh seperti pedang atau senjata api,  maka pembunuhan  seperti  itu dianggap sebagai sengaja membunuh.  Namun begitu jika senjata itu pada kebiasaannya boleh mematikan tetapi bukan dari jenis yang boleh melakukan atau menikam seperti kayu besar  atau batu besar, maka perbuatan bunuh itu sebagai menyerupai dengan sengaja ; walaupun penjenayah itu berniat hendak membunuhnya.

         Perselisihan pendapat ulamak itu adalah berpunca dari perselisihan mereka dalam menentukan jenis pembunuhan.  Umpamanya Imam Malik menetapkan niat  membunh sebagai asas bagi menentukan pembunuhan secara sengaja dengan tidak  mengambil kira mengenai alat yang digunakan.  Ini kerana  Imam Malik hanya membahagikan pembunuhan itu kepada dua jenis  sahaja ; iaitu secara sengaja dan tersalah bunuh.  Manakala Imam  Syafie dan Ahmad dalam menentukan pembunuhan itu sebagai sengaja, selain dari adanya niat sengaja membunuh, disyaratkan  adanya tanda-tanda yang membuktikan niat itu; iaitu dengan cara  menggunakan alat yang pada kebiasaannya boleh mencabut nyawa orang.  Begitu juga pendapat Imam Abu Hanafah.  Malahan pendapat  beliau ditambah dengan satu lagi syarat  iaitu alat yang pada  kebiasaannya boleh membawa maut itu mesti tajam dan boleh memotong atau menceraikan anggota tubuh badan.

         Setelah diteliti pendapat ulamak  yang tersebut, pendapat Imam Syafie dan Ahmad  dalam menentukan pembunuhan itu sebagai sengaja adalah lebih munasabah dan sesuai.  Justeru kalau  hanya bergantung semata-mata kepada niat adalah sukar untuk  menentukannya.  Lebih-lebih lagi ‘niat’  adalah perkara dalam  sanubari yang tidak ada siapa yang mengetahuinya.  Jadi untuk  mengetahui niat penjenayah itu perlu ada bukti luaran iaitu dengan  meneliti senjata yang digunakan.  Jika alat yang digunakan itu pada  kebiasaannya boleh mematikan, bolehlah dianggap sebagai  membunuh dengan sengaja.  Sebaliknya jika senjata yang digunakan  itu pada ghalibnya  tidak boleh membunuh seperti kayu kecil, batang  pensil, rotan kecil  dan lain-lain ; maka pembunuhan itu tidak  dikira sebagai sengaja membunuh.  Begitulah juga senjata yang biasanya membawa maut itu tidak semestinya tajam atau yang  boleh menceraikan anggota tubuh badan.

Rukun Ketiga

 

 

Niat sengaja membunuh

         Ulamak mempunyai pendapat yang berbeza-beza dalam menentukan sama ada qasad  atau niat  sengaja itu sebagai rukun  bagi jenayah bunuh secara sengaja.  Walau bagaimanapun kebanyakan ulama berpendapat bahawa pembunuh itu mesti  ada niat dengan sengaja hendak membunuh mangsanya.  Jika  penjenayah itu tidak ada  niat untuk membunuh, maka  pembunuhan  itu tidak dianggap sebagai sengaja  membunuh, walaupun  penjenayah berkenaan ada niat sengaja untuk  mencerobohi mangsanya.  Lantaran niat sengaja menceroboh dengan tidak  ada  niat untuk membunuh tidak cukup untuk membuktikan  penceroboh itu melakukan pembunuhan secara sengaja.

         Dalam kitab-kitab mazhab Hanafi memberi takrif  sengaja  membunuh sebagai suatu yang sengaja dilakukan dengan memukul  mangsanya dengan senjata atau sebagainya; dan seorang  pembunuh itu dianggap sengaja apabila dia berniat sengaja untuk membunuh orang.

         Ulamak mazhan Shafie  pula mentakrifkan pembunuhan secara sengaja seperti berikut :

Maksudnya :

         “Bahawa pembunuhan secara sengaja ialah sengaja (qasad) untuk menyerang dengan suatu yang pada kebiasaannya alat itu boleh membunuh seseorang”

 

Begitu juga dalam kitab matan Abi Syuja’   menyatakan :

Maksudnya :

            “Sengaja membunuh itu apabila seorang itu sengaja  memukul seorang dengan menggunakan suatu yang pada ghalibnya boleh membawa maut dan qasad membunuhnya dengan menggunakan alat yang tersebut”

Manakala mazhab Hanbali mentakrifkan sengaja membunuh sebagai membunuh manusia dengan suatu yang pada sangkaan biasanya boleh membunuhnya.  Selain dari itu disyaratkan adanya qasad sengaja dan jika tidak ada qasad sengaja membunuh maka  tidak diwajibkan qisas.

         Niat sengaja  membunuh amat penting bagi ketiga-tiga mazhab yang tersebut, kerana  niat itulah yang membezakan antara  pembunuhan secara sengaja dengan yang menyerupai dengan sengaja dan juga dengan pembunuhan yang tersalah atau tidak  sengaja.  Oleh yang demikian jika penjenayah itu berniat sengaja  membunuh mangsanya, maka pembunuhan itu dianggap sebagai sengaja.  Jika penjenayah itu walaupun dengan sengaja melakukan  permusuhan tanpa niat hendak membunuh, maka pembunuhan ini  dianggap sebagai menyerupai dengan sengaja.  Manakala jika  penjenayah itu ada niat sengaja melakukan tindakan yang tidak ada  niat untuk melakukan permusuhan maka pembunuhan seperti ini  dianggap sebagai tersalah bunuh.

         Imam Malik pula tidak menjadikan niat sengaja  membunuh itu  sebagai syarat untuk menentukan suatu pembunuhan itu sebagai  sengaja.  Bahkan memadai dengan adanya niat permusuhan, asalkan  pembunuhan bukan hasil dari bergurau, bermain atau mengajar.

         Kebanyakkan ulamak berpendapat bahawa niat sengaja membunuh menjadi syarat utama bagi  jenayah bunuh dengan sengaja.  Akan tetapi oleh kerana niat adalah perkara yang  tersembunyi di hati sanubari seseorang, maka sudah tentu sukar untuk dikesan.  Oleh itu kebanyakkan ulamak berpendapat bahawa  untuk membuktikan niat penjenayah itu perlu kepada suatu perkara yang berkait rapat dengan penjenayah.

         Pada kebiasaannya untuk menentukan niat seseorang akan diukur dari segi alat atau senjata yang digunakan dalam  pembunuhan itu, kerana penjenayah biasanya akan memilih senjata  yang sesuai untuk melaksanakan niatnya.  Jika berniat hendak  membunuh  mangsanya dia akan menggunakan senjata yang sesuai untuk tujuan tersebut seperti pedang panjang, senjata api dan sebagainya.  Sebaliknya kalau hanya  berniat hendak memukul  sahaja dia akan gunakan senjata yang ringan seperti kayu kecil, rotan dan sebagainya.  Oleh itu penggunaan alat atau senjata yang  pada kebiasaannya boleh membawa maut adalah bukti lahir yang  menunjukkan niat penjenayah.

         Walau bagaimanapun dalam menentukan sama ada seseorang pembunuh itu melakukannya dengan sengaja atau tersalah bunuh tidak boleh semata-mata bergantung kepada senjata  yang digunakan kerana boleh  jadi seseorang  itu menyerang  lawannya dengan menggunakan senjata, tetapi berniat tidak  membunuhnya  tetapi berlaku dengan secara tersalah atau tidak sengaja.   Oleh yang demikian untuk membuktikan niat seseorang dengan  melihat kepada senjata yang digunakan adalah tidak mencukupi, tetapi perlu kepada perbincangan yang lebih mendalam lagi.  Jadi  adalah lebih baik untuk menentukan niat penjenayah itu diserahkan  kepada hakim sehingga beliau berpuashati bahawa penjenayah itu melakukan dengan sengaja, sama ada melalui alat yang digunakan  atau dengan meneliti bagaimana permusuhan itu berlaku dan sebagainya.

SYARAT KEDUA

 

Pembunuhan Berbunca Dari Permusuhan

 

         Syarat  kedua bagi membolehkan penjenayah itu dihukum  bunuh balas (qisas)   jika pembunuhan itu berlaku disebabkan adanya permusuhan antara pembunuh dengan mangsanya.   Ini bererti jika seseorang itu membunuh orang   kerana  mempertahankan dirinya atau menunaikan tanggungjawabnya atau  kerana menggunakan haknya, maka pembunuhan  seperti  itu  tidak  dianggap sebagai memusuhi mangsanya.  Oleh itu pegawai  penjara  yang ditugaskan utuk melaksanakan hukuman bunuh ataupun seorang yang mempertahankan dirinya dari serangan orang, hingga  terpaksa membunuh penyerangnya, tidak boleh dijatuhkan hukuman qisas  ke atasnya kerana dia membunuh orang  itu bukan kerana permusuhannya, tetapi menunaikan kewajipannya atau  untuk mempertahankan dirinya.

         Jadi ada tiga perkara yang boleh menjadi bukti bahawa sesuatu pembunuhan itu berlaku bukan kerana adanya permusuhan .

         Pertama             :           menunaikan kewajipan

         Kedua                 :           menggunakan hak, dan

         Ketiga                :           kerana mempertahankan diri.

Pertama : Menunaikan Kewajipan

         Jika seorang itu tugasnya memang untuk melaksanakan hukuman bunuh kepada penjenayah, maka apabila  dua menunaikan  tugasnya untuk membunuh penjenayah-penjenayah, maka dia tidak  boleh dihukum qisas  kerana dia tidak ada apa-apa permusuhan  dengan orang yang dibunuhnya.

         Mengikut peraturan biasa bahawa seseorang hakim akan menjatuhkan hukuman bunuh hanya setelah berpuashati dengan  keterangan yang jelas terhadap penjenayah supaya  penjenayah itu benar-benar berhak menerima hukuman mati.  Andainya seorang  hakim telah memutuskan hukuman mati kepada orang-orang yang  sepatutnya tidak menerima hukuman mati, tetapi petugas penjara telah menjalankan keputusan hakim di atas, jadi siapakah yang  patut dipertanggungjawabkan?.  Atau dengan lain perkataan siapakah yang wajib dihukum qisas , hakim  yang memutuskan  hukuman mati atau pegawai  yang melaksanakan hukuman  tersebut?

         Jika pegawai yang melaksanakan hukuman mati itu tidak  mengetahui orang yang dihukum bunuh sebenar tidak bersalah, maka orang yang menjalankan kewajipan itu tidak boleh dihukum  qisas.  Sebaliknya yang boleh dihukum qisas  ialah orang yang  mengeluarkan arahan  untuk membunuh.  Ini kerana orang yang  menerima arahan dan perintah, tidak boleh dipersalahkan kerana  dia wajib mentaati pemerintah selagi tidak disuruh melakukan  kemaksiatan kepada Allah.  Akan tetapi jika pegawai yang  ditugaskan itu tahu bahawa orang yang dijatuhkan hukuman bunuh itu tidak bersalah dan dia teruskan juga hukuman mati itu maka  pegawai petugas wajib dikenakan hukuman qisas.

Kedua : Menggunakan Hak

         Syariat Islam memberi hak kepada seseorang untuk menuntut haknya ; walaupun sehingga kepada tuntutan hukuman bunuh.  Apabila dia menggunakan haknya dengan membunuh seseorang, maka dia tidak boleh dipersalahkan dan juga boleh  dijatuhkan hukuman qisas.  Seperti seorang bapa  membunuh orang yang telah  membunuh anaknya setelah si bapa itu mendapat kebenaran dari pihak pemerintah ataupun seorang bapa  yang memukul anaknya untuk mendisiplinkannya.

         Ada dua kes untuk dibincangkan di sini :

1.      Membunuh penjenayah bunuh

         Pada dasarnya penjenayah bunuh tidak akan  terlepas  dari hukuman bunuh balas (qisas).  Tetapi persoalannya adakah Islam  membenarkan kepada sesiapa sahaja untuk membunuh balik  penjenayah berkenaan.  Menurut pandangan majority ulamak, orang  yang bukan waris mangsa bunuh, tidak berhak untuk  membunuh balik penjenayahnya.  Oleh itu orang yang tidak ada pertalian darah dengan mangsa itu akan dihukum qisas  jika dia  membunuh  balas penjenayah tersebut.  Lantaran orang yang  bukan waris  mangsa  bunuh, tidak boleh membunuh balas penjenayah berkenaan.

         Adapun jika wali mangsa bunuh itu sendiri membunuh  balas orang yang membunuh warisnya, tidak diwajibkan hukum qisas  ke atasnya, tetapi boleh dikenakan hukuman takzir ;  kerana wali tersebut tidak mengikut peraturan am yang mana sepatutnya  tugas untuk menjalankan hukuman bunuh telah ditugaskan kepada pegawai yang tertentu dan bukan ditugaskan kepada semua orang.

2.      Membunuh orang yang berzina

         Sebagaimana maklum zina adalah jenayah yang paling keji dan terkutuk.  Jika maksiat ini tidak dikawal, bukan sahaja akan merosakkan akhlak seseorang tetapi boleh  meruntuhkan sistem  kekeluargaan dan kemasyarakatan.  Oleh sebab itulah Islam  memerintahkan satu hukuman yang berat, setimpal dengan  kesalahan yang dilakukan iaitu hukuman rejam dengan batu sampai  mati kepada penzina yang sudah berumahtangga dan hukuman sebat 100 kali dan buang daerah kepada penzina yang masih teruna atau dara.

         Tetapi apakah hukumannya jika seseorang itu bertindak sendiri dengan  membunuh pesalah zina.  Ulamak mempunyai pandangan  yang berbeza-beza.  Ada yang berpendapat bahawa orang yang  membunuh penzina yang muhsan  itu tidak boleh dihukum qisas  kerana penzina tersebut adalah halal darahnya dan wajib dikenakan hukuman bunuh.  Sungguhpun demikian orang yang membunuh penzina itu boleh dikenakan hukuman takzir  kerana melanggar peraturan pemerintah.  Manakala sesetengah ulamak pula  menyatakan bahawa wajib dihukum bunuh (qisas)  ke atas orang  yang membunuh penzina kerana yang bertanggungjawab untuk  menjalankan hukuman bunuh ialah pihak pemerintah dan  bukannya tugas perseorangan.

         Begitu juga ulamak tidak sekata mengenai hukum orang yang membunuh penzina yang masih teruna dan dara.  Ada ulamak yang   mengatakan bahawa orang  yang  membunuh penzina tersebut wajib dihukum qisas  kerana penzina  yang bukan muhsan  tidak boleh dikenakan hukuman bunuh.  Ada juga  setengah ulamak yang menyatakan bahawa orang yang membunuh penzina tidak boleh dihukum bunuh kerana dia melakukannya untuk mencegah kemungkaran.  Walau bagaimanapun jika yang membunuh penzina itu suami atau bapa atau adik-beradik kepada mangsa penzina, maka tidak wajib dihukum qisas  sama ada penzina itu sudah berkahwin atau belum.

         Imam Ali bin Abi Talib telah membuat satu keputusan mengenai satu kes  di mana seorang isteri di malam perkahwinannya telah membawa masuk teman lelakinya ke dalam  biliknya.  Apabila  si suami itu masuk biliknya tiba-tiba si lelaki itu  bangun dan bergelut dengan si suami.  Akhirnya si suami itu membunuh lelaki tersebut dan si isteri itu bangun dan membunuh  suaminya.  Ali memerintahkan kepada isteri itu membayar diyat  kepada keluarga teman lelakinya kerana dialah yang  menyebabkan suaminya membunuh lelaki berkenaan.

Ketiga : Mempertahankan Diri

 

            Menurut syariat Islam mempertahankan diri terbahagi kepada  dua jenis :

         Pertama             :           mempertahankan diri secara khusus

            Keduanya       :           mempertahankan diri secara umum

a.      Mempertahankan diri secara khusus

         Adalah menjadi kewajipan setiap orang  untuk mempertahankan dirinya dengan menggunakan kekuatan yang perlu  bagi mengelakkan diri dari pencerobohan tersebut.  Sama  ada ianya  sebagai satu tanggungjawab atau hak, tujuannya ialah  untuk mengelakkan permusuhan.  Oleh itu orang yang  mempertahankan  dirinya tidak boleh dipersalahkan dan  tidak boleh dihukum berdasarkan kepada firman Allah S.W.T.

Maksudnya :

         “Barangsiapa yang menyerang kamu maka seranglah dia seimbang dengan serangannya terhadapmu”

         Hadis  yang diriwayatkan Imam Muslim bahawa  “Yu’la Ibn Umayyah berbalah dengan seorang lelaki lalu salah seorang  menggigit tangan yang seorang lagi.  Apabila  direntap tangannya maka tercabutlah gigi hadapannya, lalu diapun mengadu kepada  Rasulullah s.a.w. Tetapi Rasulullah tidak mengenakan diyat  ke atas orang yang menggigit”.

         Begitu juga sabda Rasulullah yang bermaksud : “Andainya ada seorang mengintai kamu tanpa izin maka kamu baling dia dengan batu tepat  kena matanya dan menjadi buta, maka tidak ada dosa ke atas kamu”

         Bukan sahaja seseorang itu dibenarkan untuk mempertahankan dirinya, malahan juga wajib mempertahankan harta benda dan kehormatannya, bahkan juga diri orang lain, harta benda mereka dan kehormatan mereka.  Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w. :

Maksudnya :

            “Bantu saudara kamu sama ada yang zalim atau yang kena aniaya”

         Iaitu jika dia  adalah seorang  yang zalim, cara membantunya ialah dengan  menghalangnya dari terus melakukan kezaliman.  Sebaliknya jika dia adalah yangkena aniaya ialah dengan menjauhkan kezaliman daripadanya.

         Apakah hukum mempertahankan nyawa, tubuh badan, kehormatan dan harta benda ?  Adakah ianya sebagai hak atau tanggungjawab?

         Semua ulamak bersetuju bahawa jika kehormatan seseorang itu dicerobohi, maka wajiblah dia mempertahankan dirinya.  Umpamanya kalau ada seorang  lelaki hendak mencabul  kehormatan seorang wanita, sedangkan wanita tersebut  tidak mampu melawannya melainkan dengan membunuhnya ; maka  wajiblah dia membunuh penyerang itu semata-mata untuk  mempertahankan dirinya.  Lantaran kalau ia tidak mempertahankan  diri bererti ianya telah membolehkan penceroboh melakukan  jenayahnya.  Begitu juga seorang yang melihat orang lain hendak  merogol seorang perempuan dan lelaki itu tidak boleh melawannya kecuali dengan membunuh perogol tersebut, maka wajiblah dia  membunuh penjenayah berkenaan jika mampu.

         Mengenai mempertahankan jiwa pula, ulamak  tidak sependapat.  Ada yang mengatakan hukumnya wajib untuk mempertahankan nyawa dari pencerobohan.  Manakala sebahagian yang lain menyatakan harus bagi seorang itu mempertahankan nyawanya dari serangan penceroboh.  Mengenai mempertahankan harta pula menurut kebanyakan ulamak bukan suatu kewajipan, ianya hanya suatu yang diharuskan atau dibenarkan untuk  mempertahankannya.  Dengan kata lain orang yang dirampas  hartanya boleh  mempertahankannya dan boleh membiarkannya sahaja.

Syarat-Syarat Untuk Mempertahankan Diri Dari Penyerang

         Supaya orang yang  mempertahankan diri itu tidak dipersalahkan, walaupun sampai membunuh penyerangnya ; maka perlulah ia mematuhi syarat-syarat berikut :

Syarat Pertama : Menghadapi permusuhan / serangan.

Seseorang itu boleh mempertahankan diri jika ada serangan dan  permusuhan.  Sebaliknya jika tidak  menerima  serangan dan  ancaman, tidak harus baginya untuk mempertahankan diri  atau menolak serangan tersebut.  Seperti seorang bapa  yang memukul  anak untuk memberi  pengajaran ataupun suami memukul isterinya yang tidak taat supaya isteri itu insaf, maka tidak diharuskan bagi  anak atau isteri melawan balik atau mempertahankan  dirinya dengan  memukul bapanya atau suaminya.  Apatah lagi si bapa  dan suami memukul anak dan isteri bukan kerana berlaku permusuhan, tetapi  semata-mata untuk menggunakan haknya atau  menunaikan   kewajipannya.  Begitu juga tiap-tiap tindakan atau perbuatan  yang diwajibkan atau yang dibenarkan oleh syarak tidak dianggap sebagai pencerobohan dan permusuhan, jika orang yang  mempunyai  hak atau yang diwajibkan itu menjalankan tugasnya seperti  menangkap, memeriksa, memukul dan sebagainya.

Syarat Kedua : Serangan itu benar-benar berlaku (bukan secara sangkaan atau anggapan).

         Kalau serangan itu tidak  berlaku, tiba-tiba orang yang  menyangka kena serang itu pula menyerang balik, maka dia  bukanlah  mempertahankan diri tetapi sebaliknya dialah penyerang.  Kerana  seseorang itu boleh mempertahankan diri hanya jika berlaku serangan dan pencerobohan ke atasnya.  Jika baru kena ugut  terus menyerang orang yang mengugut belum  masanya untuk  menolak  serangan kerana bahaya dari ugutan belum dirasai sepenuhnya.  Oleh itu tidak boleh menyerang sebelum ianya  kena diserang.

Syarat Ketiga :  Tidak ada cara lain untuk melawan pencerobohan.

         Orang yang mempertahankan diri itu dibenarkan untuk menyerang musuhnya jika tidak ada jalan lain untuk melepaskan  diri.  Jadi kalau dia ada jalan lain untuk mengelakkan dari serangan penjenayah, wajiblah menggunakan cara itu.  Kalau  seseorang itu mampu melawan penjenayah itu dengan menjerit meminta tolong kepada jiran-jirannya, maka tidak perlu dia memukul atau  mencederakan penjenayah itu.  Begitu juga kalau  dia boleh melawan penjenayah tanpa menggunakan senjata dan kekerasan, maka tidak  perlulah menggunakan kekerasan.  Kalau dia melakukannya juga  maka perbuatannya itu dianggap sebagai melakukan jenayah.  Malahan jika orang yang diserang itu boleh lari sebagai satu cara  untuk mengelakkan dari serangan, perlulah dia lari dan tidak perlu melawan dengan kekerasan.

Syarat Keempat : Boleh menggunakan kekuatan sekadar yang perlu sahaja.

         Jika melebihi dari yang diperlukan bukan lagi dikira sebagai mempertahankan diri, tetapi sebagai pencerobohan ke atas orang lain. Orang yang kena serang sentiasa mengimbangi antara pertahanan yang hendak dilakukan dengan serangan yang diterima.  Oleh itu dia hendaklah sentiasa memikirkan untuk  mempertahankan dirinya dengan cara  yang lebih ringan dari  serangan yang diterimanya.  Sebagai contohnya; pencuri itu tidak  boleh terus dibunuhnya kalau dia ingin memulangkan barang  curinya tanpa menggunakan kekuatan dan kekerasan.

         Begitu juga jika ada orang mengingati dari celah lubang sebuah rumah ; pertama kalinya hendaklah dilarang.  Kalau tidak mahu pergi maka halaulah dia dengan cara yang paling ringan.  Tetapi  kalau dia tidak pergi juga kecuali jika dibaling matanya dengan batu, maka orang yang membaling batu itu tidak boleh  dipersalahkan mengikut pendapat  kebanyakan ulama.  Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w. :

         “Andainya ada seorang mengintai kamu tanpa  izin kamu lalu dia baling dengan batu dan mengenai matanya sampai buta, maka orang yang membaling itu tidak ada apa-apa dosa ke atasmu”.

            b.         Mempertahankan diri secara umum

            Semua ulamak sepakat bahawa mempertahankan diri secara  umum atau menyeru kepada ‘amr ma’ruf’  dan nahi munkar  bukan hanya sebagai  hak setiap orang  yang boleh dilakukan atau boleh  ditinggalkan mengikut  sesuka hati mereka, dan bukan juga  sebagai suatu  yang digalakkan.  Tetapi ianya  suatu kewajipan  yang tidak boleh tidak mesti  dilakukan sama ada oleh kerajaan, masyarakat dan individu-individu Muslim.  Cuma mereka berselisih  pendapat dari segi sama ada kewajipan itu sebagai fardhu ain   yang mesti dilakukan oleh setiap orang yang Islam atau hanya  fardhu Kifayah.  Iaitu  apabila  ada satu golongan atau seseorang menjalankan tugas itu maka terlepaslah tanggungjawab orang lain.

                        Kebanyakkan ulamak berpendapat bahawa amr ma’ruf  dan nahi mungkar  adalah fardhu kifayah seperti jihad berdasarkan kepada firman Allah :

            Maksudnya :

                        “Dan hendaklah sebahagian dari kamu satu golongan yang mengajak kepada kebajikan, menyuruh ma’ruf dan menengah kemungkaran’

                        Mereka beralasan bahawa perkataan bererti sebahagian.  Oleh itu kewajipan hanya kepada setengah orang  dan tidak diwajibkan kepada semua.

                        Manakala setengah ulama pula mengatakan bahawa wajib ke atas tiap-tiap orang Islam  untuk menunaikan ‘amr  ma’ruf’  dan nahi mungkar  mengikut kemampuan masing-masing, walaupun ada orang  yang lebih layak daripadanya.  Sambil menyifatkan tugas tersebut  seperti kewajipan haji ke atas orang yang mampu; malahan ianya lebih daripada kewajipan haji kerana ‘amr ma’ruf’   dan nahi mungkar  tidak  disyaratkan adanya kemampuan seperti fardhu haji.  Lagipun kemampuan dalam  ‘amr ma’ruf  dan nahi mungkar  boleh di dapati pada semua orang mengikut kepada taraf masing-masing.  Orang jahil mampu menunaikan tugas ini seperti menunaikan salat dan  puasa dan boleh menegah kemungkaran seperti  kecurian, kezaliman dan lain-lain.  Manakala orang alim pula mampu ‘amr ma’ruf  dan nahi munkar  sama ada  yang zahir mahupun yang  tersembunyi.

SYARAT KETIGA

 

 

            Pertanggungjawaban Penjenayah

                        Bagi membolehkan hukuman qisas dikenakan kepada  penjenayah, maka penjenayah itu hendaklah dari orang yang sudah boleh memikul tanggungjawab.  Sebaliknya jika jenayah itu  dilakukan oleh orang yang belum / tidak boleh memikul tanggungjawab kerana belum cukup umur, gila, kerana paksaan dan sebagainya, maka terlepaslah mereka daripada menerima hukuman  qisas.

                        Oleh yang demikian penjenayah bunuh yang boleh dijatuhkan  hukuman qisas mesti memenuhi syarat-syarat di bawah ini :

            1.         Seorang yang sudah baligh.  Ini  bermakna jika pembunuhan itu masih kanak-kanak, hukum qisas  tidak boleh dikenakan ke atasnya walaupun kanak-kanak itu sudah mumayyiz,  kerana mereka  belum sampai masanya untuk memikul tanggungjawab.  Lagipun qisas adalah satu hukuman yang berat yang tidak boleh dikenakan kecuali ke atas penjenayah yang sudah mempunyai penuh tanggungjawab.  Ini berdasarkan kepada hadis Nabi Muhammad s.a.w. :

            Maksudnya :

                        “Diangkat qalam daripada tiga (golongan manusia), dari  kanak-kanak sehingga dia baligh, daripada orang tidur sehingga dia bangun dan daripada orang gila sehingga dia sembuh”

                        Had baligh  boleh diketahui sama ada melalui tanda-tanda atau umur seseorang itu.  Antara tanda-tanda baligh  bagi kanak-kanak  lelaki ialah bermimpi, berkhayal  dengan perempuan dan keluar mani.  Manakala kanak-kanak perempuan tanda-tanda  baligh mereka bermimpi, keluar haid dan mengandung.  Jika tidak  ada  tanda-tanda  di atas maka bolehlah  dianggap telah baligh  apabila  telah mencapai  umur 15 tahun mengikut  setengah pendapat. Walaupun kanak-kanak  yang belum baligh  itu tidak dikenakan hukuman qisas,  bukanlah bererti mereka terus terlepas  dari sebarang  hukuman.  Bahkan mereka boleh  dikenakan hukuman takzir, jika  mereka  sudah mumayyiz, dan yang sudah hampir kepada had umur  baligh  kerana jenayah yang dilakukannya itu tetap dilarang Islam.   Tetapi mereka tidak dihukum dengan hukuman qisas   sebagai satu keringan syarak kerana tidak cukup tanggungjawab dan niat mereka.

            2.         Seorang yang waras akal fikirannya, tidak gila, mabuk, pitam dan sedang tidur kerana keadaan di atas menunjukkan  mereka  tidak sedar dan hilang fikirannya.  Oleh kerana  semua perintah-perintah syarak dan larangannya ditujukan hanya kepada  orang yang  waras akal fikirannya, maka pembunuh yang gila tidakj boleh  dihukum  qisas sama ada gila yang berterusan atau yang  datang  sekali sekala.  Bagi orang yang gila sekali-sekala jika  membunuh orang ketika dia  sedang  gila, terlepaslah dia dari hukuman qisas.

                        Tetapi jika dia membunuh itu ketika dia waras, tidak gila; maka  penjenayah itu boleh dikenakan hukuman qisas.  Jika pembunuhan  itu menjadi  gila setelah melakukan jenayah tersebut maka menurun mazhab Shafie dan Hanbali, penjenayah tersebut boleh dikenakan  hukuman qisas.  Imam Malik pula berpendapat  penjenayah itu boleh dihukum qisas tetapi hendaklah ditunggu sehingga dia sembuh.   Kalau tidak sembuh juga  hendaklah  membayar diyat  dari harta penjenayah tersebut.  Manakala menurut mazhab Hanafi, jika setelah dihukum qisas diapun menjadi gila sebelum diserahkan kepada wali maka hukuman qisas  ditukarkan kepada diyat.  Tetapi kalau selepas diserahkan kepaa wali, penjenayah itu gila maka wajiblah  dikenakan hukuman qisas.

                        Mengenai mabuk  disebabkan minum arak dan sebagainya; jika orang yang minum itu tidak tahu benda itu adalah arak ataupun dia  tidak tahu yang arak itu adalah haram, ataupun dia minum arak kerana dipaksa, selepas itu dia mabuk lalu membunuh orang, dalam keadaan seperti ini tidak wajib qisas ke atasnya.  Akan  tetapi jika mabuk dari hasil  minum arak dengan sengaja dan dengan  kehendaknya sendiri, maka ulamak mempunyai pandangan yang  berbeza, sama ada pembunuh yang mabuk hasil dari minum arak  secara sengaja itu wajib dihukum qisas  atau tidak.

                        Menurut Imam al-Shafie dan Hanbali pembunuh yang sedang  mabuk kerana minum arak itu wajib dihukum bunuh (qisas)   berdasarkan satu riwayat yang menyatakan bahawa Abu Wabarah al-Kalbi diutus oleh Khalid bin al-Walid kepada Sayyidina Umar al-Khattab yang berada di masjid bersama-sama Sayyidina Uthman, ‘Ali, Abdul Rahman, Talhah dan Al-Zubair (r.a.); Khalid berkata : “Ramai orang yang minum arak, tetapi mereka meringan-ringankan  hukumannya”.    Kemudian Umar (r.a.) bertanya sahabat-sahabat yang berada di sisinya, maka Imam ‘Ali pun menjawab : “Sya berpendapat apabila seseorang itu mabuk dia akan bercakap keji dan  jika dia bercakap keji dan kotor dia akan berbohong dan bagi pendusta hukumanya ialah lapan puluh kali sebat”.   Begitulah sahabat-sahabat menjatuhkan hukuman kepada orang yang mabuk  sama seperti kepada orang yang sedar.

                        Menurut satu lagi riwayat daripada Imam Ahmad dan sebahagian ulama Syafi’yyah bahawa pembunuh yang mabuk tidak diwajibkan  qisas  tetapi diwajibkan membayar diyat, kerana  mabuk itu seperti orang gila juga.  Manakala Imam Ibn Hazm pula  berpendapat pembunuh yang dalam keadaan mabuk itu tidak wajib dihukum qisas   atau diyat  berdasarkan kepada hadis:

         yang tersebut di atas.  Lagipun orang yang sedang mabuk minum arak itu tidak sedar seperti orang gila juga.  Begitu juga orang yang sedang mabuk itu jika murtad tidak dikira riddahnya; maka apatah lagi dalam masalah pembunuhan kerana masalah riddah  adalah lebih besar daripada pembunuhan.

                        Kita  berpendapat bahawa pembunuh yang sedang mabuk itu wajib dijatuhkan hukuman qisas  jika telah sabit kesalahannya.  Ianya  tidak boleh  disamakan dengan pembunuhan yang gila kerana orang  gila  memang tidak  sedar apa yang  telah dilakukan.  Sedangkan  orang yang mabuk  telah melakukan maksiat dengan melanggar larangan syarak.  Oleh yang demikian adalah tidak rasional jika  orang yang  melakukan maksiat terhadap Allah dapat dilepaskan  dari  hukuman  qisas  kerana kesalahan membunuh.  Adalah dikhuatiri  sekiranya  pembunuh yang sedang mabuk dari minum arak itu dilepaskan dari hukuman qisas, nescaya akan menggalakkan orang yang hendak membunuh  itu supaya minum minuman yang memabukkan untuk dijadikan alas an bagi melepaskan diri dari tanggungjawab jenayah yang dilakukan.

            3.         Pembunuh itu melakukan jenayah dengan kehendaknya sendiri, bukan dengan paksaan, sepertimana menurut pendapat  Imam Abu Hanifah dan satu pendapat  Imam Syafie.  Oleh itu  diwajibkan  qisas  ke atas orang yang memaksa dan bukan kepada  yang dipaksa.  Ada dua tahap paksaan;  satu paksaan yang keras dan  yang satu  lagi ialah paksaan yang lembut.

                        Paksaan yang boleh melepaskan hukuman  qisas mengikut ulamak yang berpendapat begitu ialah paksaan yang benar-benar  menakutkan hingga hilang pilihan dan yang memenuhi syarat-syarat berikut :

         (a)     Paksaan yang boleh mendatangkan kerosakan pada nyawa dan tubuh badan.  Adapun paksaan yang kurang dari itu, tidak dikecualikan dari tanggungjawab.

         (b)     Yang melakukan jenayah itu tidak mahu mengikut paksaannya.

         (c)     Orang yang memaksa  mampu melaksanakana paksaannya.  Paksaan yang seperti ini hanya datang dari pihak pemerintah, menurut Imam Abu Hanifah.

         (d)     Pada anggapan orang yang dipaksa itu, bahawa jika tidak dilakukan paksaannya nescaya dilakukan ugutannya.

                  Paksaan yang tidak ada syarat-syarat di atas tidak dapat melepaskan  dari hukuman qisas.

                  Ulama tidak sependapat mengenai kedudukan pembunuh yang  dipaksa.  Imam Abu Hanafi dan salah satu pendapat Imam Shafie menyatakan  bahawa hukuman qisas  tidak boleh dikenakan kepada  orang yang dipaksa membunuh, sebaliknya diwajibkan kepada  orang yang memaksa, berdasarkan kepada hadis Nabi.

         Maksudnya :

                  “Diangkat qalam (untuk mencatit)  dari umatku kerana tersilap, terlupa

                  dan keras paksaan ke atasnya”

                  Imam Malik, Ahmad, Ahl al-Zahr dan  sebahagian ulamak Shafie berpendapat bahawa qisas  boleh dikeluarkan kepada kedua-duanya; sama ada yang memaksa atau yang dipaksa membunuh.  Ulamak sependapat  mengenai masalah di mana seorang yang  hampir hendak mati disebabkan kebuluran, tidak dibenarkan  membunuh orang lain untuk dimakan dagingnya dan juga untuk  mengekalkan hidupnya, maka orang dipaksa terpaksa  membunuh orang lain. Manakala orang yang memaksa pula menyebabkan pada  kebiasaannya kepada pembunuhan.

                  Pendapat yang pertama lebih kuat kerana orang yang  dipaksa hilang ikhtiarnya dan diumpamakan seperti alat untuk membunuh, sedangkan qisas  tidak diwajibkan ke atas alat pembunuh tetapi  diwajibkan qisas  ke atas orang yang menggunakan alat untuk  membunuh.  Lagipun yang dipaksa itu terpaksa membunuh mangsanya untuk mempertahankan dirinya kerana kalau dia tidak  membunuh dia akan dibunuh orang yang memaksanya.  Oleh itu pembunuh yang dipaksa itu tidak wajib dikenakan hukuman qisas

                  4.   Pembunuh itu mestilah mengetahui hukum haramnya membunuh orang.  Oleh itu jika dia jahil tentang  larangannya membunuh itu maka dia tidak boleh dihukum qisas.  Lagi pula  tujuan qisas  disyariatkan adalah untuk mencegah dan menghalang penjenayah daripada mengulangi jenayahnya.  Sedangkan orang yang jahil mengenai larangan tersebut tidak perlu  dikenakan  siksaan.  Selain  dari itu apabila seseorang itu tidak tahu  mengenai  pengharaman membunuh, bermakna dia menganggap  bahawa  membunuh itu dihalalkan.  Jika demikian akan menimbulkan  kesamaran yang boleh melepaskan dari hukuman qisas .

                  5.   Hendaklah pembunuh  itu seorang yang dipelihar darahnya                             sama ada disebabkan oleh keimanannya atau perjanjian damai.                                                   Ertinya pembunuh yang wajib dihukum qisas  itu mestilah seorang Muslim atau kafir zimmi.    Oleh sebab itu jika seorang kafir harbi yang telah  membunuh  orang  pada masa  dia kafir, selepas  itu dia  memeluk  agama Islam, dia tidak wajib  dihukum qisas  kerana pada masa  kafir  dia tidak  dipertanggungjawabkan ke atas jenayah yang  dilakukannya.  Ini berdasarkan kepada firman Allah Taala.

         Maksudnya :

                  “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka yang kafir, sekiranya mereka berhenti nescaya diampunkan kepada mereka dosa-dosa yang lalu”

         Dan juga sabda Nabi Muhammad s.a.w. :

         Maksudnya :

                  “Iman itu menutupi (dosa) yang sebelumnya”

                  Selain dari itu Nabi Muhammad s.a.w. tidak menghukum bunuh kepada Washi iaitu orang yang membunuh bapa saudaranya yang bernama Hamzah dan tidak menuntut bayaran diyat  daripadanya pembunuhnya.  Andainya  kafir harbi  juga diwajibkan hukuman qisas  kerana membunuh seorang Muslim sudah tentu Nabi menghukum qisas kepada penjenayahnya.

                  Tidak wajib hukuman qisas   ke atas kafir harbi  kerana kesalahan membunuh adalah selaras dengan dasar Islam yang  memperjuangkan keadilan kepada orang Islam dan bukan Islam.  Oleh yang demikian syariat Islam menghalalkan darah dan harta benda orang kafir dalam masa peperangan, maka begitulah  sebaliknya darah dan harta benda orang Islampun dihalalkan  kepada orang bukan Islam.  Samalah kedudukan kafir harbi  yang  membunuh itu tidak diwajibkan hukuman qisas ke atasnya.

                  6.   Penjenayah itu melakukan pembunuhan secara langsung.  Ini bermakna jika penjenayah itu tidak melakukannya secara langsung seperti saksi yang dusta sehingga menyebabkan orang yang  dituduh membunuh itu dijatuhkan hukuman bunuh qisas, maka  saksi-saksi tersebut tidak boleh dihukum qisas.  Begitu juga orang  yang menggali lubang, tiba-tiba ada seorang yang  terjatuh ke dalam  lubang itu mati, maka pengali lubang yang menyebabkan orang  terjatuh itu mati, tidak boleh dikenakan hukuman bunuh qisas.

                  Ini adalah pendapat  ulamak  mazhab Hanafi yang menyatakan  bahawa pembunuhan yang berlaku dengan adanya sebab-musabab itu tidak sama dengan pembunuhan secara langsung; kerana  membunuh secara tidak langsung hanya merupakan pembunuhan dari segi maknawi dan bukan haqiqi.  Manakala pembunuhan secara langsung pula adalah pembunuhan dari segi maknawi  dan  haqiqi.  Sedangkan qisas  diwajibkan kepada penjenayah kerana  kesalahan membunuh secara langsung.

                  Kebanyakkan ulamak tidak meletakkan “membunuh secara langsung”  sebagai syarat yang membolehkan pembunuh itu dihukum qisas.  Menurut riwayat daripada Al-Qassim bin Abdul  Rahman bahawa ada dua orang lelaki menjadi saksi ke atas seorang  pencuri sehingga menyebabkan pencuri itu dikenakan hukuman potong tangan.  Selepas itu kedua saksi berkenaan membawa seorang lain dengan menyatakan “inilah dia pencurinya dan kami telah tersalah anggap pada orang yang mula-mula dituduh tadi.”  Oleh kerana persaksian mereka tidak diterima untuk orang yang  kedua, maka kedua-dua saksi itu dikenakan membayar diyat kerana  menyebabkan orang yang dituduh pertama itu dipotong tangannya.  Lalu Imam Ali bin Abi Talib berkata: “Andainya aku tahu kamu telah sengaja berbohong nescaya aku potong kedua tangan kamu”.

                  Kata-kata Imam Ali menunjukkan dengan jelas bahawa orang yang menyebabkan seorang itu dihukum bunuh boleh dihukum qisas  kerana saksi-saksi  di atas tidak memotong secara langsung  tangan orang yang disaksikan.  Bahkan mereka hanya menyebabkan  orang yang dituduh mencuri itu dipotong tangannya .  Oleh  yang demikian jika perkara yang menyebabkan  itu boleh  mewajibkan hukuman  qisas  dalam kes-kes anggota tubuh badan, maka  begitulah juga hukuman qisas  boleh dikenakan  ke atas  orang yang  menyebabkan kematian seseorang atau orang yang membunuh secara tidak langsung itu boleh dikenakan hukuman qisas.

SYARAT KEEMPAT

 

Persamaan Antara Penjenayah Dengan Mangsanya

         Bagi  membolehkan penjenayah bunuh itu dihukum qisas, hendaklah mangsanya itu menyamai kedudukan pembunuhannya.  Ini  bermakna jika mangsa bunuh tidak menyamai (sekufu)  dengan pembunuhannya, maka hukuman qisas  tidak wajib dikenakan  ke atas  penjenayah.

         Perkara-perkara yang menidakkan persamaan (kufu)   antara mangsa jenayah bunuh dan pembunuhnya ialah disebabkan berlainan jantina agama, bilangan, perhambaan dan kemerdekaan.  Walau bagaimanapun tidak semua ulamak  sependapat dalam soal  ini, bahkan ada yang berpendapat bahawa berlainan  dalam perkara-perkara di atas tidak menghalang hukuman qisas  dikenakan kepada penjenayah bunuh.  Untuk lebih terperinci lagi, di bawah ini dibincangkan satu persatu mengenai perbezaan-perbezaan di atasm:

1.      Berlainan Jantina Lelaki dan Perempuan

         Tidak ada perbezaan pendapat dalam masalah jika seorang lelaki membunuh seorang lelaki   atau seorang perempuan  membunuh seorang perempuan.  Semua ulamak sependapat mengatakan  bahawa pembunuh berkenaan wajib dikenakan hukuman  bunuh (qisas).  Yang  menjadi perselisihan pendapat ulamak ialah jika  seorang  itu membunuh  orang  yang bukan sejenisnya, umpamanya seorang lelaki membunuh seorang perempuan ataupun seorang perempuan membunuh seorang lelaki.

         Perbezaan pendapat itu berpunca dari pemahaman ayat al-Quran dalam Surah Al-Baqarah ayat 178 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan  ke atas kamu qisas berkenaan  dengan orang-orang yang kena bunuh, orang yang merdeka dengan  orang merdeka, hamba dengan hamba dan wanita dengan wanita”

         Dalam ayat di atas Allah menjelaskan hukuman qisas  ke atas orang yang membunuh sesama  jenisnya iaitu orang merdeka  dengan orang merdeka, hamba dengan hamba dan wanita  dan wanita dengan  wanita.  Sebaliknya Allah tidak menjelaskan hukuman ke atas  pembunuh yang membunuh orang yang berlainan jenisnya.  Lagipun nilai diyat  wanita tidak sama dengan diyat  untuk orang lelaki.

         Ada tiga pendapat dalam masalah ini :

 

         Pertama : jumhur  ulamak  berpendapat bahawa jika seorang lelaki  membunuh seorang wanita atau seorang wanita membunuh seorang lelaki, maka wajib dihukum bunuh qisas  berdasarkan  kepada dalil-dalil berikut :

         1.      Firman Allah Taala :

         Maksudnya :

            “Dan telah Kami wajibkan ke atas mereka (Bani Israel) di dalam (Taurat) bahawa jiwa dibalas dengan jiwa”

         Dalam ayat ini Allaah menjelaskan secara umum bahawa satu jiwa dibalas dengan satu jiwa, tanpa membezakan antara  seorang lelaki dengan seorang perempuan.  Oleh itu hukuman kerana  membunuh seorang lelaki dan perempuan sama sahaja iaitu dibunuh balas bunuh qisas.

         2.      Diriwayatkan oleh Anas bin Malik bahawa seorang hamba perempuan dijumpai kepalanya terhimpit di celah-celah batu.  Apabila ditanya, “siapa yang melakukannya?”    dijawabnya, “si pulan  bin si pulan,”  sehingga mereka menyebut nama seorang lelaki  Yahudi, perempuan itupun menganggurkan kepalanya.  Apabila dibawa ke hadapan Rasulullah s.a.w. Yahudi itu mengakui Rasulullah pun memerintahkan supaya kepada Yahudi itu dihempapkan  di celah-celah  batu tersebut.  Perintah Nabi s.a.w.  supaya kepala lelaki Yahudi itu dihempap adalah bukti jelas  bahawa seorang lelaki boleh dihukum bunuh balas qisas  kerana  membunuh seorang perempuan.

         3.      Menurut satu riwayat bahawa Rasulullah s.a.w. ada mengirimkan kepada penduduk Yaman sebuah  kitab yang  mengandungi perkara-perkara yang fardu dan sunat.  Antaranya  menyebutkan, “bahawa seorang lelaki dihukum bunuh balas  kerana membunuh seorang perempuan”

         4.      Menurut satu riwayat daripada  Imam  Ali  dan Abdullah berkata : “Jika seorang lelaki  membunuh seorang perempuan  dengan sengaja maka baginya hukuman qisas.”   Selain dari telah diijmakan  bahawa jika salah seorang  daripada   lelaki atau  perempuan  melakukan kesalahan qazaf   kepada  pihak yang  lain,  dikenakan  hukuman had,  kerana kesalahan qazaf.  Oleh sebab  itu adalah munasabah jika lelaki  membunuh perempuan atau  sebaliknya  dikenakan hukuman qisas   kerana tidak ada sebab untuk  membezakan hukum had, qazaf,  qisas  antara penjenayah lelaki dengan perempuan.

         Kedua Al-Hasan Al-Basri,Akramah, ‘Ata’ dan salah satu pendapat Imam Shafie menyatakan bahawa seorang lelaki yang membunuh seorang perempuan tidak diwajibkan hukuman  qisas  berdasarkan kepada firman Allah:

 

Maksudnya :

            “Diwajibkan ke atas kamu qisas dalam kes orang yang kena bunuh, seorang  merdeka dengan seorang merdeka, seorang hamba dengan seorang hamba, seorang perempuan dengan  seorang perempuan”

         Dan ayat di atas dengan jelas menyebutkan setiap jenis iaitu merdeka, hamba dan wanita serta disebutkan bersetentangan dengan jenisnya: adalah satu bukti bahawa setiap jenis itu tidak  wajib dihukum bunuh qisas,  kecuali jika pembunuhnya sama  tarafnya.  Lagipun kerana perempuan tidak menyamai lelaki dari  segi mejadi saksi, bahagian pusaka dan bayaran diyat.

         Ketiga : Satu pendapat  daripada  Imam Malik bahawa seorang lelaki yang membunuh seorang wanita  boleh   dikenakan hukuman  bunuh qisas, tetapi wali kepada perempuan mangsa bunuh itu kena membayar setengah diyat   kepada wali pembunuh.   Ini berdasarkan  kepada satu riwayat daripada Imam Ali bin Abi Talib yang berkata:

         “Jika seorang  lelaki membunuh perempuan, maka wali  perempuan itu diberi pilihan; jika mereka mahu mereka  boleh membunuh lelaki yang menjadi penjenayah itu dan  membayar setengah diyat kepada wali lelaki pembunuh.  Juga  jika mereka  (wali-wali perempuan) mahu, mereka boleh meminta supaya lelaki tidak dihukum qisas, tetapi meminta bayaran  diyat untuk wanita yang dibunuh itu.  Sebaliknya jika perempuan itu membunuh seorang lelaki, maka wali kepada lelaki mangsa bunuh itu diberi pilian sama ada  untuk meminta supaya pembunuh itu dihukum qisas dan mengambil  setengah diyat, atau tidak meminta hukuman  qisas dan mengambil sepenuh diyat dari perempuan yang membunuh itu”

 

         Selain  dari itu kerana perempuan pada umumnya tidak  menyamai kaum lelaki.  Bahkan dalam banyak hal wanita hanya  dianggap separuh dari kaum lelaki dalam pembahagian pusaka, pembayaran diyat  dan persaksian.

         Pendapat jumhur ‘ulamak’  selain dari mempunyai dalil yang  kukuh ia adalah lebih menepati tujuan disyariatkan  qisas  dan roh Islam itu sendiri, yang memperjuangkan persamaan antara lelaki dan wanita.  Selain dari itu Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Darah (nyawa) orang-orang Islam adalah setaraf.”  Hadis ini menjelaskan secara umum bahawa setiap orang Islam  adalah sama tarafnya, sama ada lelaki atau wanita.

         Jika kita telitikan dari segi hikmah disyariatkan qisas adalah untuk memelihara supaya nyawa atau darah tidak tumpah secara sia-sia seperti firman Allah yang bermaksud : “Dan bagi  kamu dalam  perlaksanaan qisas itu (memberi)  satu penghidupan wahai  orang-orang  yang  mempunyai  akal”  Jadi kalaulah  orang lelaki  yang membunuh perempuan  itu tidak dihukum  bunuh, maka  ini boleh diertikan   sebagai mensia-siakan nyawa perempuan, tanpa  pembelaan dan akan mendorong orang lelaki membunuh wanita  dengan sewenang-wenangnya kerana mereka  mengetahui pembunuhnya  tidak akan dihukum bunuh.  Tidak ada  bezanya  antara nyawa lelaki dengan nyawa wanita.  Ianya tidak boleh  diukur atau ditimbang, walaupun saksi wanita  dianggap separuh dari  saksi  orang lelaki, tetapi ini tidak bermakna  bahawa nyawa wanita  hanya setengah dari nyawa orang lelaki.

         Mengenai Al-Quran yang menyebutkan perkataan                                           

( wanita dengan wanita)  bukannya bermakna  hanya  wanita yang membunuh itu akan dibunuh kerana membunuh wanita, tetapi tujuannya disebutkan di atas itu ialah  untuk  membatalkan amalan-amalan yang berlaku pada zaman Jahiliah di mana  waris mangsa jenayah bunuh akan membunuh  sesiapa  sahaja; bukan sahaja kepada pembunuh, malahan kepada orang  lain  yang tidak ada kena mengena  dengan  kes  bunuh berkenaan .  Seterusnya ulamak telah sepakat menyatakan bahawa  hukuman  qisas  tidak boleh dicampurkan dengan diyat.  Oleh yang  demikian  kita tidak  dapat menerima hukuman qisas  dicampurkan  dengan hukuman membayar diyat.

         Mengenai perbezaan diyat  antara lelaki dan wanita itu tidak  boleh dijadikan alasan ketidaksamaan antara  nyawa lelaki dan  wanita.  Justeru andainya berlainan diyat  untuk lelaki dan  wanita diterima, nescaya tidak wajib qisas  kepada hamba-hamba  kerana  hamba-hamba mempunyai harga dan nilai yang berbeza antara satu dengan yang lainnya.  Juga nescaya pembunuh secara beramai-ramai itu tidak akan dihukum qisas  kerana perbezaan  bilangan  dengan mangsa yang dibunuh.  Sedangkan semua ulamak bersetuju bahawa seorang hamba dihukum bunuh  kerana membunuh hamba  dan orang ramai yang membunuh seseorang  akan  dikenakan bunuh sebagai qisas.

         b.  Perbezaan Agama dan Kepercayaan

         Soal yang juga menarik untuk dibincangkan di sini ialah adakan dengan  sebab agama yang dianuti oleh pembunuh itu berbeza dengan agama yang dianuti oleh mangsa  bunuh ; boleh mempengaruhi atau memberi kesan kepada hukuman qisas  atau tidak ?

         Oleh kerana semua umat Islam mempercayai  bahawa Islam  adalah satu agama yang paling tinggi dan mulia, maka sebab  itu setengah ulamak berpendapat bahawa perbezaan agama antara  mangsa bunuh dan pembunuh boleh mempengaruhi  terhadap hukuman qisas.  Oleh sebab itu ada setengah ulamak berpendapat  bahawa seorang Islam yang membunuh  seorang kafir tidak  diwajibkan hukum bunuh qisas,  kerana ketiadaan persaman  di antara kedua-duanya.  Atau dengan lain-lain perkataan kerana agama yang dianuti oleh pembunuh iaitu agama Islam adalah lebih tinggi dari agama kafir yang dianuti oleh mangsa jenayah tersebut.  Sebaliknya jika agama  yang dianuti oleh kedua-dua penjenayah dan  mangsanya itu sama, maka pembunuh itu wajib dikenakan  hukuman bunuh qisas, seperti jika seorang Muslim membunuh seorang Muslim atau seorang zimmi  membunuh seorang zimmi,   maka wajiblah dikenakan hukuman qisas.

         Imam-imam Mazhab Shafie Hanbali, Maliki dan Zahiri dan Syiah Imamiyyah berpendapat bahawa orang Islam yang membunuh orang kafir zimmi  tidak diwajibkan hukuman qisas kerana orang kafir zimmi  tidak menyamai orang Islam dari segi  agamanya, kerana agama yang dianuti oleh kafir zimmi  itu lebih  rendah dari agama yang dianuti orang Islam.  Sedangkan syarat diwajibkan qisas ialah adanya  persamaan antara mangsa bunuh dengan pembunuhnya.  Mereka juga berhujah dengan ayat-ayat Al-Quran, antaranya seperti berikut :

         Firman Allah :

Maksudnya :

            “Apakah patut Kami jadikan orang-orang Islam itu sama dengan orang-orang yang berdosa (orang-orang kafir).  Mengapa kamu (berbuat demikian) bagaimanakah kamu mengambil keputusan”

         Firman Allah :

Maksudnya :

         “Maka apakah orang yang beriman seperti orang  yang fasiq (kafir) tidak sama”

 

            Dan firman Allah lagi:

Maksudnya :

            “Dan Allah sekali-sekali tidak akan memberi jalan kepada orang-orang kafir (untuk memusnahkah) orang yang beriman”.

         Ayat-ayat di atas menjelaskan bahawa kafir zimmi tidak menyamai orang Islam.  Apabila  tidak sama maka  tidak wajib  menjatuhkan hukuman qisas  ke atas seorang  Muslim yang membunuh seorang kafir zimmi kerana persamaan  adalah  menjadi syarat wajib qisas.

         Sabda Rasulullah s.a.w. :

Maksudnya :

            “Orang-orang Islam darah (nyawa) mereka serupa.  Dia berusaha dengan perjanjian damai dengan mereka yang lebih rendah.  Mereka berkuasa  ke atas orang yang  selain daripada mereka.  Orang Islam tidak (dihukum) bunuh kerana  membunuh seorang kafir dan orang yang mempunyai perjanjian dengan zimmi”

 

 

         Difahamkan daripada hadis di atas  bahawa  darah orang bukan Islam tidak menyamai darah orang Islam.  Apabila tidak ada  persamaan maka tidak wajib dihukum qisas.  Ditambah lagi dengan  sabda Nabi s.a.w. :

Maksudnya :

            “Orang yang beriman tidak dihukum bunuh kerana kesalahan membunuh orang kafir”    

 

         Perkataan kafir yang disebut dalam hadis di atas adalah umum, termasuk kafir zimmi dan kafir harbi.

         Manakala Abu Hanifah, Nakha’I, Sufian al-Thawri dan lain-lain berpendapat bahawa orang Islam yang membunuh seseorang kafir zimmi  wajib dihukum qisas  berdasarkan kepada dalil-dalil berikut :

1.            Firman Allah :

         Maksudnya :

                  “Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas kamu qisas dalam kes  orang yang kena bunuh, mereka dengan merdeka, hamba dengan hamba dan wanita dengan wanita”

 

         Ayat ini menjelaskan kewajipan qisas  kepada pembunuh dengan tidak membezakan antara  seorang Muslim dan bukan Muslim, dan termasuk di dalam zimmi   dan lainnya.

         2.      Firman Allah :

         Maksudnya :

                  “Dan telah Kami wajibkan ke atas mereka (Bani Israel) bahawa jiwa dibalas dengan jiwa”

         Ayat ini juga tidak membezakan antara seorang dengan seorang yang lain.  Bahkan siapa juga yang bersalah membunuh boleh dihukum qisas.

         3.      Firman Allah :

         Maksudnya :

                  “Dan jika kamu memberi balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan siksaan yang ditimpakan  kepadamu”

 

         4.      Firman Allah :

         Maksudnya :

                  “Barangsiapa yang menyerang kamu, maka seranglah ia seimbang dengan serangannya terhadapmu”

         Ayat-ayat Al-Quran di atas membuktikan wajibkan hukuman qisas  ke atas pembunuhan dengan tidak membezakan antara orang Islam dengan bukan Islam.

         Selain daripada itu menurut satu riwayat menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah menghukum qisas  ke atas seorang Muslim yang bersalah membunuh seorang zimmi  lalu bersabda :

Maksudnya :

         “Aku lebih berhak ke atas orang yang menyempurnakan tanggungjawabnya (zimmi)”

         Rasulullah s.a.w. menyuruh berlaku adil kepada penduduk bukan Islam dengan sabdanya :

Maksudnya :

         “Barangsiapa yang menyakiti kafir zimmi maka akulah pembelanya di hari kiamat”

         Hadis di atas menjelaskan bahawa orang yang menyakiti seorang zimmi yang dianiayai akan mendapat pembelaan Rasulullah s.a.w. di  hari akhirat.  Maka apatah lagi jika seorang  zimmi itu dibunuh, sudah tentulah dibalas dengan menghukum bunuh qisas  ke atas pembunuhnya.

         Pandangan kebanyakan ulamak yang menyatakan bahawa  seorang Islam yang membunuh seorang kafir zimmi  tidak diwajibkan hukuman qisas  adalah pendapat yang kuat berdasarkan  kepada dalil-dalil yang kuat.  Bagaimanapun setelah meneliti kedua-dua pandangan di atas, maka pendapat yang menyatakan bahawa  orang Islam yang membunuh seorang kafir zimmi  tetap dikenakan  hukuman bunuh balas (qisas)   adalah lebih menepati dengan dasar keadilan yang diperjuangkan Islam yang tidak membezakan warna  kulit, keturunan, agama  dan bangsa.  Malahan bersesuaian dengan  konsep persamaan bahawa manusia itu semuanya sama, dan dasar qisas  dalam kes nyawapun adalah persamaan.  Selain dari itu Islam  memberi perlindungan (protection – ‘ismah)  kepada seseorang itu  berdasarkan kepada  keimanan atau keamanan.  Oleh sebab itu orang-orang zimmi  wajib dilindungi  nyawa, tubuh badan, harta benda dan keluarga mereka kerana mereka memberikan janji taat setia kepada negara Islam.

         Jadi kalaulah orang Islam yang membunuh orang kafir zimmi  itu telah dihukum bunuh, seolah-olah Islam tidak memberi  perlindungan kepada rakannya yang bukan Islam.  Dan  ini bertentangan dengan jaminan is’mah (protection)  yang sepatutnya  diberi kepada orang-orang zimmi.  Lagi pula dalam  kes  di mana  jika  orang Islam  mencuri harta orang kafir, semua ulamak sependapat  bahawa orang Islam itu wajib dihukum had potong tangan  kerana  mencuri harta orang zimmi.  Dalam  kes ini menunjukkan   harta orang-orang  zimmi dilindungi oleh Islam.  Oleh itu sepatutnya  nyawa mereka  lebih utama dilindungi dengan menghukum  bunuh balas (qisas)  kepada orang Islam yang membunuh orang kafir zimmi

         Maksudnya :

                  “Tidak dihukum bunuh orang Mukmin kerana membunuh orang kafir”

Maksud perkataan “kafir” dalam hadis ini ialah kafir harbi (yang memerangi Islam) yang bukan kafir zimmi.  Ianya bermaksud jika orang Islam membunuh kafir harbi  tidak dikenakan hukuman  bunuh balas  qisas.  Tetapi jika orang Islam  itu membunuh orang kafir zimmi  wajib dikenakan hukuman qisas  kerana  biasanya  kalau maksud kafir iatu ialah orang zimmi.  Nabi Muhammad s.a.w. menyebutkan dengan perkataan zimmi  dan jika Baginda menyebut perkataan kafir sahaja maksudnya kafir harbi.

         Mengenai alasan yang mengatakan bahawa  nyawa orang kafir  tidak dilindungi secara mutlak, tetapi tertakluk kepada  komitmen  mereka terhadap perjanjian taat setia.  Maka begitu  juga orang –orang Islam diberi protection (‘ismah)  pun tidak mutlak.  Bahkan  perlindungan  (‘ismah)  itu diberikan selama mereka  berada  dalam agama  Islam dan tidak melanggar larangan-larangan syarak.   Sebaliknya jika mereka  keluar Islam atau membunuh atau  berzina mereka tidak diberi perlindungan lagi; bahkan wajib  dikenakan  hukuman bunuh kerana melakukan kesalahan-kesalahan yang tersebut.

         c.      Perbezaan Bilangan

         Jika seseorang membunuh seorang ataupun seseorang membunuh dua orang atau lebih, maka semua ulamak bersetuju bahawa pembunuh itu wajib dihukum qisas.  Tetapi jika sekumpulan orang ramai bersama-sama  membunuh seseorang maka ulamak  mempunyai pendapat yang  berbeza-beza.

         Kebanyakkan ulamak termasuk Iman Abu Hanifah, Malik dan Al-Shafie berpendapat orang ramai yang berpakat membunuh seseorang, semuanya diwajibkan hukuman qisas  dengan syarat tiap-tiap  seorang dari mereka   itu melakukan perbuatan yang  menyebabkan kematiannya.

         Di antara alasan-alasan mereka berpendapat demikian ialah firman Allah Taala dalam Surah Al-Baqarah ayat 178 yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman diwajibkan ke atas  kamu qisas dalam kes orang yang kena bunuh.  Orang merdeka dengan orang mereka, hamba dengan hamba” yang  mana ayat di atas ini menunjukkan wajib menghukum bunuh ke atas pembunuhnya secara umum; sama ada pembunuhnya itu seorang  atau terdiri dari beberapa orang.

         Begitu juga menurut satu riwayat daripada Ibn Umar bahawa  Sayyidina Umar dalam kes seorang  kanak-kanak yang dibunuh secara kejam berkata, “Andainya semua penduduk San’a berpakat  membunuh seseorang nescaya aku bunuh mereka.” Dan  menurut riwayat Imam Malik menyebutkan  bahawa Sayyidina Umar ibn al-Khattab telah menghukum bunuh seramai lima dan enam orang  yang membunuh orang secara tipu daya, sambil berkata, “Andainya  semua penduduk sana bersama-sama membunuh seseorang nescaya aku bunuh mereka semua.”   Selain dari itu dari riwayat menyatakan  bahawa Sayyidina Ali menghukum bunuh ke atas orang-orang  Khawarij kerana mereka membunuh ‘Abdullah bin Khubub.    Pada  mulanya Sayyidna Ali  tidak mahu menghukum mereka, akan tetapi apabila Sayyidina Ali memanggil mereka yang  membunuhnya dan mereka mengaku sebanyak tiga kali , lalu Sayyidina Ali dan sahabatnya menghukum bunuh mereka yang  membunuh Abdullah bin Khubab.

         Manakala satu pendapat daripada Imam Ahmad berpendapat bahawa orang ramai yang berpakat membunuh seseorang tidak  diwajibkan hukuman qisas, bahkan diwajibkan membayar diyat  berdasarkan kepada firman Allah Taala dalam Surah Al-Baqarah, ayat  178 bermaksud:”Diwajibkan ke atas kamu qisas dalam kes  orang yang kena bunuh, seorang merdeka dengan seorang merdeka, hamba dengan hamba”.

         Ayat ini menetapkan persamaan antara pembunuh dari  mangsanya sebagai syarat kewajipan hukuman qisas.  Sedangkan  tidak ada persamaan di antara seorang mangsa  yang kena bunuh dengan pembunuh yang ramai itu.  Oleh itu  tidak wajib qisas   apabila tidak ada  syaratnya.  Begitu juga ayat 45 Surah Al-Majidah  bermaksud: “Dan Kami telah wajibkan ke atas mereka di dalam  (Taurat) bahawasanya jiwa (dibalas) dengan jiwa, mata dengan  mata.”  Ayat ini menunjukkan bahawa satu itu menyamai  satu dan juga kerana qisas  hanya diwajibkan di antara satu nyawa  dengan satu nyawa.  Sedangkan menghukum qisas kepada orang  ramai yang membunuh seseorang itu bertentangan  dengan maksud ayat di atas tadi.  Selain dari itu disebabkan berlawanan sifatpun  boleh menghalang hukuman qisas  seperti seorang hamba yang membunuh seorang yang  merdeka, atau seorang Muslim yang membunuh seorang kafir.  Semuanya tidak diwajibkan  hukuman qisas, maka apatah lagi jika berlainan bilangan seperti orang  ramai membunuh seseorang, tentunya tidak dikenakan hukuman qisas.

         Pendapat majority ulamak adalah lebih menepati dengan kehendak dan matlamat undang-undang qisas  yang  menekankan persamaan antara jenayah dan hukumannya.  Begitu juga  kerana  Ijma’  para sahabat Nabi s.a.w. seperti yang diriwayatkan  oleh Said  bin al-Musayyib bahawa Umar  bin al-Khattab telah  menghukum  bunuh ke atas tujuh orang penduduk San’a yang membunuh seorang lelaki dan menurut satu riwayat menyatakan bahawa  Sayyidina Ali telah menghukum bunuh ke atas tiga orang yang  didapati membunuh seseorang.

         Satu lagi riwayat menyatakan bahawa Ali bin Abi Talib telah menghukum bunuh ke atas sekumpulan orang ramai kerana  kesalahan membunuh seseorang sahaja.  Oleh kerana tidak ada  yang menentang pendapat sahabat di atas, maka ianya dianggap sebagai pendapat yang disetujui.

         Selain dari itu jika hukuman qisas  tidak diwajibkan ke atas orang ramai yang berpakat membunuh seseorang itu; nescaya akan menggalakkan penjenayah-penjenayah itu untuk tolong-menolong dalam perkara kejahatan dan permusuhan.  Mungkin juga mereka akan membunuh siapa yang mereka kehendaki atas alasan kononnya mereka akan terlepas dari hukuman qisas. Sebaliknya jika mereka mengetahui bahawa mereka akan dihukum qisas andainya melakukan perbuatan membunuh secara beramai-ramai, nescaya mereka akan berfikir dua tiga kali dan akhirnya mereka tidak meneruskan niat buruknya itu.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 29 other followers

%d bloggers like this: